Skip to main content

Bola Sepak

Klopp akui Newcastle buat hidup Liverpool susah

jurgen-klopp.jpg
Jurgen Klopp memuji Newcastle United kerana membuat hidup Liverpool susah sebelum merakamkan kemenangan 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi tadi.

Jonjo Shelvey membuatkan penyokong tuan rumah terkelu seketika sebaik menjaringkan gol pembukaan seawal minit ketujuh sebelum Diogo Jota menyamakan kedudukan -- Liverpool turut memecahkan rekod peribadi mereka dengan menjaringkan gol dalam 23 perlawanan berturut-turut menerusi kesemua kejohanan.

Mohamed Salah kemudian meletakkan pasukan bimbingan Klopp itu di depan -- menyamai rekod EPL milik Jamie Vardy dengan menjaringkan gol dalam 15 perlawanan berturut-turut -- sebelum Trent Alexander-Arnold melengkapkan kebangkitan menakjubkan itu dengan gol ketiga Liverpool.

Dengan kemenangan itu, The Reds menjadi pasukan pertama merekodkan 2,000 kemenangan dalam liga divisyen utama England selain hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu EPL, Manchester City, dan berkelebihan tiga mata di depan pasukan di tangga ketiga, Chelsea.

Klopp, dalam pada itu, mengakui pasukannya berdepan waktu sukar menghadapi tentangan Newcastle.
 
"Kami lebih menggunakan Bounemouth berbanding Newcastle sebagai analisis dan persediaan menghadapi perlawanan ini," kata Klopp kepada BT Sport.

"Kami menang 2-1 ketika kali terakhir Eddie Howe datang ke sini bersama Bournemouth -- selepas mereka mendapatkan jaringan.

"Kami menjangkakan perkara sama, mereka membuatkan hidup kami susah.

"Ketinggalan 1-0, perasaannya sedikit berubah. Kami mengejar masa.

"Kami menjaringkan gol-gol yang amat baik. Saya amat gembira sepanjang tahun ini apabila anda hanya perlu melalui setiap perlawanan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video