Skip to main content

Bola Sepak

KL City tidak terima lamaran Melaka United untuk Bacina

nenad-bacina.jpg
Kelibat Nenad Bacina kembali menjadi sebutan dan kali ini dikaitkan dengan Melaka United.

Hingga ke saat ini masih belum ada pengumuman rasmi daripada kelab dari selatan itu berhubung minat untuk mendapatkan sentuhan penolong jurulatih kelahiran Croatia tersebut.  

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur (KL) City, Stanley Bernard, menjelaskan kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, bahawa Bacina masih berkhidmat untuk skuad Warga Kota. 

"Dia adalah penolong jurulatih kepada Bojan Hodak.

"Dia masih mempunyai kontrak (dengan kami) dan setakat ini saya boleh katakan tiada perubahan. 

"Secara rasmi atau tidak, saya tidak diberitahu (mengenai sebarang tawaran) daripada mana-mana pasukan. Bukan sahaja Melaka malah Terengganu sebelum ini yang saya hanya mengetahuinya melalui media. 

"Ketika ini Nenad perlu menyelesaikan situasi di rumahnya yang perlu diperhalusi. Selain itu, memang dia ada mengatakan mendapat tawaran tetapi bukan secara rasmi jadi itu sahaja komunikasi di antara kami setakat ini," katanya di Nadi Arena sebentar tadi. 





Sungguhpun berdepan situasi di luar jangkaan, penyandang juara Piala Malaysia itu tidak akan panik dan Stanley mengakui mereka mempunyai percaturan tertentu untuk menghadapi sebarang situasi drastik. 

"Saya rasa tidak tetapi jika ia berlaku, seperti yang saya katakan kepada barisan pengurusan dan kejurulatihan, sesebuah pasukan bola sepak perlu mempunyai perancangan A, B, C dan D. 

"Setakat ini KL City mempunyai perancangan. Sekalipun ada perubahan memandangkan Nenad dan Bojan dikaitkan ke pasukan lain, kami tiada masalah. 

"Tapi saya berasakan kami akan ada kestabilan."
 

Advertisement

Must Watch Video