Skip to main content

Bola Sepak

Kita perlu fikirkan maruah negara -- Khalid

6717khalidali.jpg
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Ali, menyifatkan tindakan beberapa pasukan negeri dan kelab tidak melepaskan pemain sebagai tidak wajar ketika skuad bawah 22 tahun (B-22) negara berdepan tugasan penting bulan ini.

"Kita kena fikirkan pasukan negara, kena fikirkan maruah negara," katanya.

"Kalau itu menjadi masalah, selama-lamanya kita tidak dapat memantapkan pasukan Harimau Malaya dan ia akan menjadi isu untuk selama-lamanya."

Pasukan yang dikenali Skuad Projek Sukan SEA 2017 ini akan mengharungi tiga perlawanan dalam kempen kelayakan Kejohanan Bawah 23 Tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok, Thailand pada 19-23 Julai ini.

Pasukan muda negara terlebih dahulu akan bertemu skuad B-22 Myanmar untuk aksi persahabatan pada 13 Julai ini, sebelum berdepan Indonesia, Thailand dan Mongolia di Bangkok.

Bagaimanapun, mimpi ngeri menimpa jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, apabila hanya enam daripada 26 pemain yang tersenarai melaporkan diri pada hari pertama latihan pusat, semalam.

Mereka ialah Muhamad Daniel Amier Norhisham (Felda United), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Amierul Hakimi Awang (Terengganu), Adam Nor Azlin (Selangor), Muhd Syahmi Safari (Selangor) dan Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak).

Lebih parah, pada hari ini, empat daripada mereka, Daniel, Irfan, Amierul dan Adam, pula meninggalkan latihan untuk kembali ke pasukan masing-masing.

"Agak sukar kerana kalau kita lihat daripada falsafah yang diterapkan, setiap pasukan begitu berbeza dengan apa yang ingin dilakukan Kim Swee.

"Ia menyukarkan perancangan permainan atau corak yang ingin diterapkan," kata pemerhati bola sepak, Hasnizam Uzir, mengulas mengenai isu pelepasan pemain.

Kim Swee dijangka dapat mengumpulkan hampir semua pemainnya hanya sehari sebelum pertemuan menentang Myanmar, sekali gus dianggap persediaan kurang sempurna untuk misi meraih keputusan positif dalam kejohanan kelayakan itu nanti.

Advertisement

Must Watch Video