Skip to main content

Bola Sepak

Kim Swee tuntut Syihan usah patah semangat

ong-kim-swee_9.jpg
Pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, berharap penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, menguatkan semangat untuk menangani isu doping sambil menyifatkan ia satu kerugian kepada negara jika terbukti dia bersalah. 

Kim Swee terkejut dengan nasib yang menimpa Syihan walaupun sepanjang menjalani latihan bersama pasukan negara selama sebulan bagi menghadapi Kejohanan AFC B-23 di China bulan lalu, semua pemain telah diberi peringatan secukupnya. 

Kim Swee menasihati Syihan untuk bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan sambil berharap dia tidak akan mengalah dalam kariernya. 

Syihan sedang menanti keputusan ujian sampel B yang bakal diketahui minggu depan selepas ujian sampel A pemain Negeri Sembilan itu dikesan mengandungi bahan terlarang jenis metabolite methandienone. 

"Tentu kami berasa terkejut kerana ini merupakan kali pertama kami tersangkut dengan kes doping. 

"Apa sahaja keputusan selepas sampel B diterima nanti, Syihan harus tabah dan terus memastikan bahawa dia dapat terus beraksi," kata Kim Swee. 

Sementara itu, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berhasrat menganjurkan seminar kesedaran mengenai doping selepas isu yang melanda Syihan bagi memastikan perkara sama tidak berulang. 

Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahaya, melihat pemain perlu dibekalkan ilmu yang cukup mengenai bahan-bahan terlarang dalam pemakanan. 

"Ada baiknya selepas ini doktor pasukan memberi seminar kepada pemain-pemain tentang makanan tambahan dan ubat-ubatan yang diambil pemain kerana sedikit kesilapan menyebabkan karier mereka terjejas," ujar Rezal. 

Advertisement

Must Watch Video