Skip to main content

Bola Sepak

Kim Swee tidak dapat pelepasan pemain?

4717ongkimswee.jpg
Ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee, menanti penuh debar apakah situasi yang bakal terjadi dalam sesi latihan sulung esok selepas mendapat perkhabaran terdapat beberapa pasukan enggan melepaskan pemain.

Kim Swee berkata tiada mana-mana pasukan yang menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memohon pemain mereka dikecualikan daripada skuad yang akan beraksi dalam kempen kelayakan Kejohanan Bawah 23 Tahun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok, Thailand, 19-23 Julai ini.

Cuma Felcra FC yang memohon pemain mereka mendaftarkan diri bersama pasukan selepas aksi Piala FAM bertemu DBKL FC, 9 Julai ini.

"Kami masih lagi menunggu. Ada yang mengatakan akan menghantar surat kepada kami tetapi saya masih belum mendapat sebarang maklum balas.

"Jadi, saya menjangkakan semua pemain akan mendaftarkan diri esok supaya kami dapat melakukan persiapan."

Kim Swee hanya mengetahui berita mengenai hasrat Kedah dan Pulau Pinang yang tidak mahu melepaskan pemain melalui media selain Pahang juga dijangka mengambil langkah sama.

Bagaimanapun, dia enggan terburu-buru membuat keputusan untuk memanggil pemain baru jika ada pemain yang tidak mendapat pelepasan majikan.

Baginya, 26 pemain yang sebelum ini disenaraikan kekal dalam perancangan utamanya untuk ke Bangkok.

"Ini terpulang, banyak aspek yang perlu saya lihat. Pemain telah mendaftar lebih awal sebelum saya dilantik mengendalikan skuad ini. Jika saya memerlukan setiap pemain dalam senarai menunggu, sudah tentu saya akan menyenaraikan mereka," tambahnya.

Berikut adalah perlawanan yang bakal dihadapi skuad muda negara dalam usaha melayakkan diri ke pusingan akhir pada tahun depan:

Perlawanan Kumpulan H

19 Julai 
Indonesia lwn Malaysia

21 Julai
Malaysia lwn Thailand

23 Julai
Malaysia lwn Mongolia
 

Advertisement

Must Watch Video