Skip to main content

Bola Sepak

Kim Swee lega tidak hilang pemain

datuk-ong-kim-swee_1.jpg
Pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee, mengesahkan setakat ini tiada pemain lain yang pulang ke pangkuan pasukan masing-masing kecuali dua pemain Sarawak menjelang aksi Kelayakan Piala AFC Bawah 23 Tahun.

Kim Swee menarik nafas lega apabila barisan pemain kekal menjalani latihan bersama pasukan kecuali dua pemain, Nur Syamie Iszuan Amin dan Tommy Mawat Bada.

Terdahulu, dua pemain Sarawak,Nur Syamie dan Tommy Mawat, serta Syazwan Zaipol Bahari daripada PKNP FC kembali ke pasukan masing-masing selepas berakhir perlawanan persahabatan berdepan skuad B-22 Myanmar, kelmarin.

Bagaimanapun, Syazwan kembali bersama skuad negara hari ini manakala Tommy dan Syamie hanya akan kembali esok sebaik tamat aksi Liga Super berdepan Johor Darul Ta'zim. 

Difahamkan, hanya Mohd Farhan Roslan dan Ahmad Khairul Anuar Zamri diketepikan daripada terbang ke Bangkok, Thailand susulan kecederaan. 

"Syazwan telah kembali menyertai skuad tetapi dia tidak boleh menjalani latihan hari ini kerana beraksi 90 minit semalam. Dua pemain Sarawak hanya akan tiba selepas aksi malam ini dan akan bersama kami esok dalam sesi latihan terakhir," jelas Kim Swee.

Seakan-akan sudah lali dengan isu barisan pemain yang dikumpul pada saat-saat akhir, tiada lagi tekanan untuk Kim Swee selain mengharapkan aksi terbaik daripada anak buahnya di sana.

"Bagi saya, tiada sebarang tekanan kecuali pada hari perlawanan di mana kami perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video