Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Bola Sepak

Kim Pan-gon datang dengan pakej sains sukan pacu peningkatan Harimau Malaya

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kim-pan-gon-1024x664.jpeg
Sekurang-kurangnya empat pegawai diperlukan dalam sesi latihan setiap atlet kebangsaan, demikian kata pakar sains sukan Sepanyol, Inigo Mujika, dalam satu laporan Stadium Astro pada Januari 2018.

Menurut Mujika, empat aspek wajib dalam penerapan sains sukan itu melibatkan pakar pemakanan, psikologi, fisioterapi dan penganalisis video dalam mendapatkan keputusan terbaik.

"Dalam aspek sains sukan, ia memerlukan seorang atau dua pakar dalam bidang pemakanan, psikologi, fisioterapi dan penganalisis prestasi.

"Mereka ini adalah barisan biasa untuk pasukan bola sepak dalam liga," kata Mujika dalam wawancara berkenaan.




Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jelas menyedari perkara itu, di mana badan induk itu sudah memulakan usaha memperkuatkan aspek berkenaan menerusi jalinan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) pada Oktober tahun lalu.

Kerjasama strategik itu menumpukan kepada aspek prestasi tinggi dalam sukan bola sepak negara.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram, berkata kolaborasi bersama universiti berkenaan dilihat sebagai jalinan kerjasama yang berharga buat badan induk itu, di mana aspek sains sukan dalam bola sepak adalah sangat penting bagi memastikan skuad kebangsaan dapat beraksi di tahap yang maksimum.

Menariknya, kesepakatan itu dimeterai genap 10 bulan selepas Kim Pan-gon dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Pan-gon sememangnya jurulatih yang amat menitikberatkan elemen sains sukan dalam pembentukan pasukan bola sepak.

Sewaktu dilantik sebagai naib presiden Persatuan Bolasepak Korea (KFA) dan ketua jawatankuasa pengukuhan pasukan kebangsaan itu pada 2017, dia amat menekankan penggunaan sains sukan dan mewujudkan sebuah pasukan sains bola sepak KFA sebagai usaha mempercepatkan rawatan dan pemulihan pemain dan latihan bebanan secara saintifik.

Lapan bulan selepas pelantikannya, FAM menghantar tiga kakitangannya untuk berguru di Seoul, Korea Selatan, di mana penyertaan itu adalah atas cadangan dan rekomendasi dari Pan-gon sendiri.

Tiga individu berkenaan terdiri daripada Ketua Unit Perubatan dan Sains Sukan FAM, Sivansvaran Suppiah, ahli fisioterapi, Harris Zafran, dan penolong jurulatih skuad kebangsaan, Park Bobae.



Dengan pasukan pakar yang dimilikinya, Pan-gon berhasil memacu peningkatan ketara skuad negara, di mana Harimau Malaya layak secara merit ke Sukan Asia Qatar 2024 -- buat kali pertama sejak 1980.

Selain itu, peningkatan turut dapat dilihat daripada segi ranking dunia skuad negara.

Sewaktu mula dilantik sebagai ketua jurulatih pada Januari 2022, Harimau Malaya berada di tangga ke-155 dunia tetapi selepas setahun dan lapan bulan Pan-gon memegang jawatannya, Malaysia berada di tangga ke-134 dunia pada September lalu -- lonjakan sebanyak 21 anak tangga.

Skuad negara juga berpeluang untuk melonjak ke tangga ke-130 dunia menjelang penghujung tahun ini susulan kemenangan ke atas Kyrgyzstan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia malam tadi.

Ini membuktikan keberkesanan sains sukan dalam membentuk dan meningkatkan prestasi sesebuah pasukan dan Malaysia seharusnya beruntung memperoleh seorang ketua jurulatih dengan visi dan pegangan seperti Pan-gon, sejajar dengan perkembangan bola sepak moden ketika ini, khususnya di Eropah.

Dengan asas kukuh yang dibina ketika ini, tidak mustahil suatu hari nanti kita dapat melihat skuad bola sepak negara beraksi di pentas tertinggi Piala Dunia seandainya perkembangan yang sedang diusahakan Pan-gon ketika ini dapat diteruskan untuk jangka masa panjang.

Advertisement

Must Watch Video