Skip to main content

Bola Sepak

Ketiadaan pertahanan import undang masalah -- Jelius

igor-cerina.jpg
Pengendali Sabah, Jelius Ating, mengakui ketiadaan pemain import di bahagian pertahanan mengundang masalah kepada skuad kendaliannya musim ini.

Katanya, walaupun memiliki pertahanan dari Croatia, Igor Cerina, pemain itu belum dapat dipastikan bila akan beraksi kerana sehingga kini masih dibelenggu kecederaan.

"Kami tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pemain tempatan di bahagian pertahanan. Saya harap masalah ini akan diselesaikan pihak pengurusan sebelum tempoh pendaftaran pemain berakhir hujung minggu ini.

"Bukan mereka (pertahanan tempatan) tidak bagus, tetapi kami perlu lebih banyak pilihan. Bagaimana sekiranya ada antara mereka menjalani penggantungan perlawanan atau tercedera, kami tidak banyak pilihan dan sudah pasti mendatangkan masalah di bahagian pertahanan," katanya  di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata walaupun hanya seri menentang FELCRA FC, Selasa lalu, dia tetap percaya dengan kesebelasan utamanya dan berharap mereka mampu mengembalikan rentak kemenangan dalam aksi ketiga Liga Perdana bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Likas, malam esok.

Beliau akan mengekalkan kesebelasan utamanya sebelum ini dengan penambahbaikan dibuat dalam sesi latihan petang ini.

"Kami akui dalam perlawanan bertemu FELCRA FC, ada beberapa kelemahan dikenal pasti, terutama di bahagian tengah, dan kami akan cuba memperbaikinya menjelang aksi malam esok.

"Dalam perlawanan lalu, bahagian tengah kami, terutama Heo Jaenyong, lebih banyak membantu pertahanan untuk mengekang penyerang import lawan yang tinggi lampai sehingga dia sedikit keletihan.

"Bagaimanapun, kami akan atasi perkara ini. Kami sebenarnya menghadapi sedikit masalah di bahagian pertahanan bukan sebab mereka tidak bagus tetapi kami perlukan seorang pertahanan yang memiliki kelebihan fizikal, pendek kata seorang pertahanan import," katanya.

Sementara itu, Jelius mahu barisan pemainnya berjuang habis-habisan untuk mencatat kemenangan bagi mengelak mereka tercicir mata di gelanggang sendiri.

"Kami mahu kutip mata penuh, sekali gus kekal dalam kelompok atasan liga, kami juga tidak mahu mengecewakan penyokong yang menaruh harapan kepada kami malam esok," katanya.

Jelius dijangka mengekalkan Robson Rendy Rining sebagai penjaga gol utama dengan dibantu empat pertahanan, iaitu Rawilson Batuil, Maffry Balang, Randy Baruh dan Jenius Karib.

Pemain dari Korea Selatan, Jaenyong, pula akan mengemudi bahagian tengah bersama Mohd Azzizan Nordin, Sabri Sahar serta Maxsius Musa manakala Lee Gil Hoon dan Hector Pito Ramos kekal sebagai pemburu jaringan bagi Sabah.

Advertisement

Must Watch Video