Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Ketaksuban UCL jejas Juventus -- Allegri

moise-kean.jpg
JUVENTUS 4 UDINESE 1

Massimiliamo Allegri mendakwa ketaksuban Juventus untuk memenangi Liga Juara-Juara (ULC) menjejaskan pasukannya.


Juve akan menentang Atletico Madrid, Rabu depan -- ketinggalan 0-2 dalam pertemuan pertama di Sepanyol -- dan menyimpan hasrat untuk memenangi kejuaraan utama Eropah buat kali pertama sejak 1996.

Memandangkan kelebihan dua gol yang dimiliki kelab LaLiga berkenaan selain pertahanan mereka yang mantap, peluang untuk anak buah Allegri itu mara tampak berliku. 

Bahkan, spekulasi mengaitkan Allegri mungkin dipecat minggu ini tetapi pengurus Juve terbabit percaya keinginan kelab untuk memenangi UCL telah memakan diri dan mengaburkan pencapaiannya dalam pertandingan itu.

Bercakap selepas kemenangan 4-1 ke atas Udinese, awal pagi, yang menyaksikan mereka melebarkan kelebihan dengan pencabar terdekat, Napoli, dengan 19 mata di persada Serie A, Allegri memberitahu Sky Sport Italia: "Juventus sering berjuang untuk merebut UCL sepanjang saya berada di sini. Ketika saya tiba, terdapat banyak keraguan bukan hanya menjurus terhadap saya, malah keseluruhan pasukan dan kelab.

"Sepanjang tempoh kendalian saya, kami sekurang-kurangnya mencapai pusingan 16 UCL, mara ke final sebanyak dua kali dan hanya ditewaskan oleh pemenang.

"Bayern Munich mengambil masa 10 tahun untuk memenangi UCL sementara Chelsea hanya memenanginya ketika mereka tidak layak pun tetapi mereka memanfaatkan peluang yang ada dalam perlawanan akhir.

"Pada pandangan saya, adalah salah untuk melihatnya secara negatif memandangkan kami telah melakukan tugasan yang hebat di sini. Memang benar setiap cerita akan ada pengakhirannya tetapi kami menuju ke kejuaraan Scudetto kelapan berturut-turut dan sudah memenangi Piala Super Itali.

"Saya fikir harapan terhadap kami terlalu kerap dibangkitkan dan ia menjadi ketaksuban. Bermain dalam UCL sepatutnya menjadi keseronokan dan kegembiraan.

"Ini adalah kejohanan yang berlainan daripada lain; ibarat bola yang melantun buruk, anda tidak mempunyai masa untuk berbuat apa-apa, lalu anda tersingkir."

Sempena menanti kunjungan skuad kendalian Diego Simeone itu, Allegri memilih untuk meninggalkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan dan penggantinya, Moise Kean, memulakan aksi liga pertamanya musim ini dengan cemerlang apabila meledak dua gol.

Pemain berusia 19 tahun itu bergelut untuk mendapatkan tempoh bermain musim ini dan sungguhpun gembira dengan sumbangan anak buahnya itu, Allegri memberi amaran kepada pemain antarabangsa Itali berkenaan bahawa dia masih perlu bekerja keras.

"Kean sangat bagus ketika dalam situasi mengucar-kacirkan pertahanan lawan dan menjaringkan gol tetapi dia perlu memperbaiki pergerakan dan pilihan hantarannya. Namun, ia sesuatu yang normal buat pemain yang dilahirkan pada 2000," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video