Skip to main content

Bola Sepak

Kesebelasan terbaik jadi taruhan TFC II

tfc2218.jpg
Pengendali Terengganu FC (TFC) II, Mustaffa Kamal Abd Wahab, bakal menurunkan kesebelasan terbaiknya dalam aksi sepak mula Liga Perdana menentang Sabah di Likas, malam ini.

Menurutnya, selepas melalui persiapan pra-musim, adunan pemain tempatan serta empat tonggak import diyakini mampu membentuk barisan mantap dalam misi mencuri mata di tempat lawan.

Sambil mengakui sudah memiliki gambaran sebelas terbaik untuk diturunkan, Mustaffa Kamal turut lega dengan kembalinya Shahrin Sapien dan Amierul Hakimi Awang daripada senarai kecederaan.

“Kombinasi pemain semakin baik. Malah, mereka cepat menyesuaikan diri dengan rentak serta corak diingini.

“Prestasi pasukan juga dilihat berada di tahap terbaik dan saya menaruh keyakinan kepada pemain-pemain untuk memungut mata dalam perlawanan pembukaan ini,” ujarnya.

Bakal mempertaruhkan penggempur Liga Perdana musim lalu, Akanni Sunday Wasiu, TFC II juga meletakkan sandaran kepada Bruno Junichi Suzuki di bahagian serangan.

Pemain kelahiran Haiti, Andrew Anderson, pula dijangka bergandingan dengan kapten, Mohd Hasbullah Awang, di bahagian benteng manakala rakan senegara, Sebastian Thuriere, sebagai perancang tengah.

Advertisement

Must Watch Video