Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Kim Pan-gon enggan beri alasan kekalahan kepada Oman

kim-pan-gon.jpg
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, enggan memberikan sebarang alasan selepas skuad negara tewas 0-2 kepada Oman dalam aksi Kumpulan D pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Muscat awal pagi tadi.

Ini walaupun skuad negara perlu mengharungi perlawanan paling mencabar itu dengan rata-rata pemain dalam fasa pramusim berbanding lawan di ranking ke-80 dunia itu, yang kelihatan lebih bersedia. 

"Ini bukan seperti kebiasaan. Saya tidak boleh katakan yang situasi ini sesuatu yang baik buat kami," katanya seperti yang dipetik wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Ini sesuatu yang amat sukar buat pemain tetapi kami tidak boleh menggunakannya sebagai alasan kami tewas perlawanan ini.

"Kerana kami tidak boleh mengubah keadaan ini, kami sudah berada dalam situasi ini.

"Jadi, saya fikir kami perlu lebih kuat untuk menghadapi pasukan di tahap tinggi seperti ini.

"Oman merupakan pilihan utama dalam balang pertama, kami bermain di tempat lawan.

"Kami sudah mencuba yang terbaik untuk menghadapi mereka dengan kuat.

"Tahap fizikal dan kecergasan dalam permainan bukan di tahap yang kami inginkan tetapi jika kami mahu meneruskannya ke pusingan seterusnya, saya fikir kami perlu mendapatkan mata dalam perlawanan seterusnya.

"Apapun, kami tidak boleh berputus asa, kami masih ada tiga perlawanan, jadi saya fikir adalah lebih baik untuk kekal positif daripada menyalahkan situasi yang tidak dapat kita ubah," katanya.

 

Advertisement

Must Watch Video