Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan AFC B-23: Kim Swee tidak gentar reputasi Aspas

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ong-kim-swee-180717.jpg
Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee, mengingatkan anak buahnya agar tidak gerun dengan reputasi jurulatih Indonesia, Luis Milla Aspas, menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Supacha-Lasai, esok. 

Kelibat Milla Aspas mendapat tumpuann dalam sidang media pra-perlawanan kempen kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23, siang tadi. 

Membimbing skuad senior dan muda Indonesia, jurulatih berusia 51 tahun itu hadir dengan reputasi hebat selaku bekas pemain Barcelona, Real Madrid dan Valencia pada era 90-an. 

"Sudah tentu dengan reputasi yang dimiliki beliau, ia menunjukkan Indonesia betul-betul serius. 

"Tetapi pada masa yang sama, beraksi di Asia Tenggara sudah tentu berbeza daripada di Eropah. 

"Walaupun mereka mempunyai jurulatih berkaliber dan bereputasi tinggi, namun saya percaya pemain-pemain tidak perlu risau dengan apa yang perlu kami lakukan," kata Kim Swee.  

Sebagai jurulatih, Aspas pernah menunjangani skuad B-19 Sepanyol untuk muncul naib juara Kejohanan Eropah B-19 pada 2010 di Perancis dan memastikan skuad B-21 negara itu layak ke Kejohanan Eropah B-21 pada 2011. 

Berdasarkan pengalaman yang dimiliki Milla Aspas itu, tugas getir tampak menanti skuad muda negara. 

"Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kelayakan ini dan sudah pasti kami mahu mencapai kemenangan dalam perlawanan pertama," katanya. 



Sementara itu, malang menimpa skuad B-22 negara apabila hadir ke Bangkok tanpa pegawai fisioterapi. 

Difahamkan, fisioterapi yang dibekalkan oleh Institut Sukan Negara (ISN), Zhariff Ismail, tidak mendapat pelepasan daripada majikannya untuk ke Bangkok. 

Situasi itu menambah lagi kepincangan terhadap skuad muda negara yang sebelum ini berdepan dengan masalah pelepasan pemain. 

Ia juga memaksa pegawai fisioterapi skuad Harimau Malaya, Siva Suppiah, diterbangkan khas dari Kuala Lumpur ke Bangkok untuk membantu pasukan berkenaan sepanjang kempen kelayakan itu. 

Ketua pasukan negara, Adib Zainuddin, turut senada dengan Kim Swee apabila berkata, "Walaupun mula dikumpulkan sejak lima hari lalu, namun itu bukan alasan dan kami akan cuba melakukan kejutan serta melangkah ke peringkat yang seterusnya."


 

Advertisement

Must Watch Video