Skip to main content

Bola Sepak

Kelantan curi satu mata hasil sepakan penalti

kelantan6218.jpg
KELANTAN 1 TERENGGANU FC 1

Hajat Kelantan untuk memburu kemenangan pertama di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila terikat 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) dalam Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, malam ini.


Tekad mahu bangkit selepas tewas 2-1 di tangan Melaka United, Sabtu lalu, The Red Warriors (TRW) menampilkan barisan terkuat dengan kembalinya Khairul Fahmi Che Mat dalam kesebelasan utama.

TFC mendahului perlawanan menerusi jaringan ketua pasukannya, Tchetche Kipre, yang menghukum benteng Kelantan selepas menyudahkan hantaran cantik Mohamad Ashari Samsudin.

Kelantan cuba bangkit tetapi TFC terus menekan tuan rumah melalui gerakan menarik yang dicetuskan Lee Andrew Tuck dan Mohd Ashari.

Kelantan hampir menyamakan kedudukan, namun sepakan pemain import, Do Dong-hyun, melambung tinggi biarpun penjaga gol Terengganu, Mohd Suffian, tertewas pada minit ke-21.

Kelantan mendapat sepakan penalti apabila Nik Mohd Shahrul Azim Nik Abdul Halim dijatuhkan pertahanan Terengganu, dan Dong-hyun mudah menewaskan Mohd Suffian untuk mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-38.

Selepas rehat, ketua jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh, membuat dua pertukaran dengan memasukkkan S. Veenod dan penyerang, Mohd Nor Farhan Mohamad, untuk mencari gol kemenangan.

Bagaimanapun, benteng TFC yang diketuai Igor Zonjic kental bertahan.

Kipre hampir berjaya meletakkan TFC di depan, namun Khairul Fahmi dapat menepis sepakan kencangnya pada minit ke-72, sekali gus melegakan penyokong tuan rumah.

Empat minit sebelum tamat perlawanan, Kelantan mendapat sepakan percuma di luar kotak penalti Terengganu, namun sepakan penyerang import, Bruno Da Silva Lopes, tersasar.

Keputusan lain:
JDT 3 PKNP 0

Advertisement

Must Watch Video