Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kehadiran Ronaldo tidak ubah objektif Juventus -- Allegri

cristiano-ronaldo.jpg
Massimiliano Allegri menjelaskan usaha kelab itu menandatangani Cristiano Ronaldo daripada Real Madrid tidak memberikan impak kepada sasaran Juventus bagi musim 2018-19.
 

Kapten Portugal, Ronaldo, menyertai Juve selepas membantu Real memenangi Liga Juara-Juara (UCL) tiga kali berturut-turut, dengan kontrak hingga 2022 bersama juara Serie A itu, sekali gus menamatkan sembilan tahun di Santiago Bernabeu.

Kehadiran Ronaldo ke dalam pasukan adalah usaha kelab itu untuk meraih kemenangan dalam saingan UCL selepas impak yang ditampilkan dalam saingan tersebut amat berkesan.

Gergasi Itali itu merupakan juara pada edisi 1996 dan tewas dua kali selepas membuat empat penampilan aksi final, kali terakhir ketika Ronaldo menjaringkan dua gol untuk memastikan kemenangan 4-1 buat Real di Cardiff pada 2017.

Allegri, bagaimanapun, menafikan tumpuan Juve hanya pada saingan Eropah, dengan Ronaldo yang masih lagi bercuti selepas tamat kempen Piala Dunia.

"Objektif kami masih sama -- memenangi semua pertandingan," kata Allegri.

"Ronaldo akan membantu kami mencapai objektif tersebut, tidak mengira Serie A ataupun UCL."

Juventus mengekalkan rekod tanpa kalah selepas bangkit daripada ketinggalan kepada Benfica dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 apabila perlawanan tamat dengan keputusan seri 1-1 di New Jersey.

Wojciech Szczesny berkongsi khidmat dengan pendatang baru, Mattia Perin, dan Allegri menolak cadangan beliau akan mencari pengganti Gianluigi Buffon yang mengambil keputusan menyertai Paris Saint-Germain (PSG).

"Kami memiliki tiga penjaga gol dan mereka adalah masa depan kelab ini.

"Buffon telah mencipta sejarah bersama kelab ini selama 20 tahun. Dia adalah antara penjaga gol terbaik dunia pada ketika ini.

"Dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke Paris dan kami mengucapkan semoga maju jaya buat dirinya."
 

Advertisement

Must Watch Video