Skip to main content

Bola Sepak

Kehadiran penyokong ke stadium suntik keyakinan program vaksinasi

ghani-hassan.jpg
Wujud keresahan oleh penganjur kancah tempatan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), berhubung perubahan kerajaan yang menjurus ke arah ketetapan baru musim depan.

Menurut Presiden baru MFL, Datuk Ghani Hassan, pihaknya ketika ini sudah merangka pelan untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran Liga Malaysia (Liga-M) musim 2022 berjalan tanpa sebarang isu berbangkit termasuk kehadiran penyokong ke stadium. 

"Saya akan berbincang dengan pihak atasan. Saya harap kuota ini akan disambung sepanjang COVID-19.

"Program vaksinasi rakyat Malaysia akan mencapai 100 peratus menjelang November ini. 

"Bukan ramai penyokong yang akan dibenarkan masuk. Tidak seperti di luar negara yang membenarkan kapasiti penuh stadium. 

"Oleh kerana kebimbangan penularan varian baru dan sebagainya di Malaysia, sekurang-kurangnya benarkanlah sedikit peratusan membenarkan kemasukan penonton. 

"Bukan sahaja untuk MFL dan pasukan, malah ia memberi keyakinan kepada rakyat bahawa inilah kemudahan vaksin yang boleh diberikan," katanya. 




Dalam masa yang sama, perkara baru yang akan dibincangkan adalah tempoh kuarantin dua minggu melibatkan pasukan Liga-M yang terpalit dengan kes pandemik itu. 

"SOP Liga Malaysia dikawal MKN (Majlis Keselamatan Negara). MFL kena mengajukan permohonan perancangan kepada KBS -- bertindak sebagai pengantara -- yang akan membawa permohonan ini kepada Jawatankuasa Teknikal SOP MKN," katanya lagi. 

Bagi jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) yang baru, Ghani masih berselindung mengenai siapa yang akan menggantikan kedudukannya sebelum ini.

Satu mesyuarat lembaga pengarah akan berlangsung dan keputusannya akan dibuat pada Isnin depan. 

Namun, khabar angin bertiup kencang bahawa Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, bakal beralih ke posisi itu. 
 

Advertisement

Must Watch Video