Skip to main content

Bola Sepak

Kedah tetap berbisa walaupun tanpa Cheng Hoe

14517kenilso.jpg
Selepas dihantui prestasi tidak menentu sejak peletakan jawatan Tan Cheng Hoe, Kedah memilih detik tepat untuk bangkit apabila mengetepikan Terengganu dalam separuh akhir Piala FA, malam tadi.

Ken Ilso, yang menjadi salah seorang penjaring dan pembuka ruang kepada gol ketiga Kedah, mengakui mereka berada dalam keadaan terumbang-ambing dalam beberapa perlawanan lalu.

Bagaimanapun, katanya, semangat kekeluargaan yang tinggi dalam kalangan pemain Kedah mengatasi segala rintangan itu, malah mereka kini sudah boleh fokus menghadapi final Piala FA.

"Prestasi kami agak menurun selepas kami seakan-akan hilang punca selepas peletakan jawatan jurulatih (Cheng Hoe) sebelum ini," katanya.

"Selepas kerusi itu kembali diisi (Muhammad Nidzam Adzha), kami mulakan dari bawah semula kerana apa yang berlaku sudah pun berlaku. Maka, kami kembali bekerjasama sebagai satu keluarga."

Sementara itu, bagi Terengganu, jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim, menerima hakikat Kedah sebuah lawan yang jauh lebih baik daripada mereka.

Jelas Irfan, kekuatan Kedah di bahagian tengah sukar ditandingi pemainnya selain berasakan ketiadaan penyerang tulen di bahagian hadapan menyukarkan Terengganu untuk mendapatkan jaringan.

"Kesilapan individu (juga) menyebabkan kekalahan ini. Gol kedua Kedah membunuh kami," kata Irfan selepas tamat perlawanan timbal balik separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

"Pemain tengah saya tidak dapat menandingi intensiti tinggi yang dipamerkan pemain memakai jersi No.8 (Liridon Krasniqi), No.10 (Sandro da Silva Mendonca) dan No.22 (Mohd Syazwan Zainon). Tahniah kepada kedah."

Kedah meraih kemenangan mudah 3-0 masing-masing melalui jaringan Liridon, Ilso dan Sandro untuk mara ke final dengan agregat 4-0.

Advertisement

Must Watch Video