Skip to main content

Bola Sepak

Kedah juga bermain kasar -- Elavarasan

elavarasan-100517.jpg
Jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan, mengakui prestasi Semut Merah di Stadium Shah Alam, malam tadi gagal menyamai aksi ketika di Alor Setar dalam saingan pusingan pertama Liga Super.

Begitupun, dia tetap berpuas hati dengan keputusan seri 4-4 yang dirakamkan kerana akur anak buahnya gagal beraksi di tahap terbaik di Stadium Shah Alam.

Malah, prestasi terdahulu di Alor Setar jauh lebih berkualiti.

Keadaan padang basah turut mendorong barisan Elavarasan melakukan beberapa terjahan keras.

Kesempatan itu digunakan Elavarasan untuk memberi kenyataan sinis bahawa PKNS bukan pasukan yang agresif seperti yang pernah dilabel bekas jurulatih Lang Merah, Tan Cheng Hoe, sebelum ini.

"Rentak perlawanan sebelum ini adalah lebih baik tetapi bagi Kedah, kami bermain secara agresif.

"Saya berasakan dalam keadaan hujan, semua pasukan menampilkan corak keras dan mahu memenangi mata.

"Apabila padang becak, sudah tentu terjahan-terjahan keras akan berlaku.

"Perlawanan pada malam ini (semalam) juga, ada beberapa terjahan keras yang berlaku apabila keadaan memerlukan.

"Kami tidak berniat untuk pukul orang, padahal kedua-dua pasukan beraksi serupa juga," katanya.

Dalam masa yang sama, jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof, mengakui perancangan Kedah untuk melunaskan dendam tempoh hari gagal dijelmakan di Shah Alam.

Kegagalan bertahan sehingga ke saat akhir perlu dinilai semula dan situasi itu membawa kerugian besar kepada Kedah untuk memperbaiki kedudukan liga.

"Kami cuma menang sekali sahaja pada bulan lalu tetapi apapun statistik menunjukkan permainan kami semakin menaik.

"Corak permainan kami dilihat kembali meningkat," ujarnya.

 

Advertisement

Must Watch Video