Skip to main content

Bola Sepak

Kasonde mahu balas kepercayaan Jelius

kasonde14218.jpg
Pertahanan import Sabah, Francis Kasonde, gembira dapat menyertai semula pasukan itu dan berjanji akan membalas kepercayaan yang diberikan pengendalinya, Jelius Ating.

"Saya gembira menyertai semula keluarga ini, sekarang kita boleh menyambung semula apa yang diperjuangkan sejak pertengahan musim lalu dan ternyata pasukan ini bermula dengan baik pada musim ini.

"Ia pasti sesuatu yang menarik dan mencabar untuk kami menghadapi musim ini, terima kasih kepada Jelius dan pihak pengurusan kerana menjadikan perkara ini (menyertai semula Sabah)," katanya ketika dihubungi, semalam.

Kasonde berkata dia tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan akan datang dan berjanji akan melakukan yang terbaik bagi membantu pasukan itu terus mencatat kemenangan.

"Keadaan tidak banyak berbeza berbanding ketika saya menyertai pasukan ini pada pertengahan musim lalu, yang berbeza hanyalah semangat pasukan ini yang semakin memuncak dan saya harap ini berterusan," katanya.

Pemain berusia 32 tahun itu, yang pernah membuat 35 penampilan bersama Zambia, beraksi bersama Sang Badak pada pertengahan musim lalu menggantikan Igor Cerina yang mengalami kecederaan.

Dia yang turut mencipta sejarah bersama skuad kebangsaannya dengan menjulang Piala Negara-Negara Afrika pada 2012, kemudian kembali dipanggil Jelius, minggu lalu, juga bagi menggantikan Cerina yang masih gagal pulih daripada kecederaan dialaminya.

Kemasukan Kasonde melengkapkan kouta empat pemain import Sabah selepas pasukan berkenaan mengekalkan dua pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong, serta membawa masuk penyerang Puerto Rico, Hector Omar Ramos Lebron.

Selepas tiga perlawanan, Sabah kini menduduki tangga kedua liga di belakang Felda United dengan tujuh mata hasil daripada dua kemenangan dan sekali seri.

Pasukan yang turut popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu akan menyambung saingan liga bertemu Sarawak di Stadium Likas pada 24 Februari ini.

Selain itu, Sabah juga bakal menghadapi laluan sukar dalam saingan Piala FA apabila diundi bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas pada 3 Mac depan.
 

Advertisement

Must Watch Video