Skip to main content

Bola Sepak

Kasonde dijangka kembali sarung jersi Sabah

kasonde2018.jpg
Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dipercayai sedang berusaha untuk mendapatkan semula khidmat bekas pertahanan kebangsaan Zambia, Francis Kasonde, sebelum tarikh pendaftaran pemain berakhir hujung minggu ini.

Sumber memberitahu persatuan berkenaan sedang sibuk menyediakan semua dokumen yang diperlukan bagi membolehkan pemain itu didaftarkan sebelum tarikh tutup, hujung minggu ini.

Difahamkan juga, pemain berusia 32 tahun itu yang pernah membuat 35 penampilan bersama Zambia, telah bersetuju untuk menyertai semula Sabah dan dijangka akan berada di Kota Kinabalu, hujung minggu ini.

Pengurus pasukan, Datuk Juil Nuatim, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu, namun mengakui Sabah memerlukan seorang pemain pertahanan yang berkualiti dan berpengalaman.

Kasonde sebelum ini menyertai Sang Badak pada pertengahan musim lalu menggantikan Cerina yang mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, SAFA terpaksa menyenaraikan semula Cerina kerana masih memiliki baki kontrak sehingga penghujung musim ini, namun dia masih gagal menempatkan diri dalam pasukan kerana kecederaannya itu berpanjangan.

Semalam, pengendali Sabah, Jelius Ating turut mengakui memerlukan seorang pertahanan import dan berharap pihak pengurusan dapat menyelesaikan masalah itu dengan segera dengan mengambil pemain import lain menggantikan Cerina.

Advertisement

Must Watch Video