Ketua pasukan Leicester City, Wes Morgan, mengakui juara menanti Liga Perdana Inggeris (EPL) itu merindui bekas pemain tengah, N'Golo Kante.
Morgan akan berdepan bekas rakan sepasukannya itu buat kali pertama sejak Kante berpindah ke Chelsea, menjelang kunjungan mereka ke Stamford Bridge, hari ini.
Kante dinobatkan Pemain Terbaik Leicester musim lalu ketika skuad dengan the jolokan The Foxes itu melakar kejutan untuk menjulang trofi EPL.
Meskipun terasa kehilangan pemain antarabangsa Perancis itu, Morgan menegaskan sudah tiba masanya mereka meneruskan perjuangan.
"Dia berakhir hebat untuk kami musim lalu, dia adalah pemain tahunan terbaik kami, apa yang dilakukannya adalah yang luar biasa," kata Morgan kepada Sky Sports.
"Dia datang dari sebuah kelab kerdil di Perancis dan tiba di England dengan permainan yang sangat hebat.
"Jika mana-mana pasukan tidak memilikinya, mereka pasti akan merinduinya dan itulah yang terjadi kepada kami. Kami merinduinya, tapi kami harus meneruskan perjuangan.
"Kami ada beberapa pemain baru yang melaksanakan tugas dengan baik di posisi itu. Tiada sebab untuk mengenangkan masa lalu dan N'Golo. Kami perlu melihat ke hadapan untuk diri sendiri dan kami ada pemain yang boleh mengisi tempatnya."
Leicester hanya memungut lapan mata dalam tujuh aksi liga untuk menduduki tangga ke-12, lima mata dipisahkan dengan Chelsea.
Tambah Morgan, "Kebanyakan pasukan sudah mengetahui kekuatan kami dan cuba mengatasinya. Jadi, kami harus memikirkan pendekatan berbeza untuk menang dengan sistem berbeza kerana kami tidak mahu menjadi terlalu mudah untuk diramal.
"Kami mungkin dipandang rendah musim lalu, kami berjanji, musim ini tiada siapapun yang akan menemui jalan mudah. Setiap pasukan yang kami hadapi perlu menampilkan kesungguhan tinggi."
Sacha Pisani
Fri Oct 14 2016