Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kane azam ikut jejak langkah Ronaldo, Messi

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

harry-kane-090617.jpg
Penggempur Tottenham Hotspur, Harry Kane, mahu mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dengan memenangi Anugerah Ballon d'Or.

Kane  mengekalkan Anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan merekodkan 29 jaringan dalam 30 penampilan untuk Tottenham mengakhiri kempen di tangga kedua. 

Ronaldo dijangka akan menyamai rekod pemain Barcelona, Messi, memenangi Ballon d'Or sebanyak lima kali selepas membantu Real Madrid meraih kejayaan LaLiga dan Liga Juara-Juara. 

Kane menjadikan pencapaian itu sebagai inspirasinya dan mahu mencapainya ketika masih bergelar pemain Spurs. 

"Saya akan melakukan yang terdaya untuk meraih trofi itu (Ballon d'Or). Ia inspirasi saya," kata Kane. 

"Ronaldo memenangi LaLiga dan Liga Juara-Juara, sebab itulah dia akan memenangi Ballon d'Or. Begitu juga dengan situasi Messi. Untuk melakukannya bukan boleh secara individu, ia mengenai kejayaan pasukan memenangi gelaran dan harap-harap ia boleh dilakukan di Tottenham."

Kane merakamkan lima gol dalam 17 penampilan bersama England dan dijangka akan mengetuai serangan dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Scotland. 

Oleh itu, pemain berusia 23 tahun itu sedar jika mahu sebaris dengan Ronaldo dan Messi, dia perlu memperbaiki prestasinya di peringkat antarabangsa. 

"Saya mahu menjadi pemain berkelas dunia. Saya belum mencapainya. Sebahagian daripadanya adalah membuktikannya di peringkat antarabangsa," tambahnya lagi. 

"Langkah seterusnya adalah dalam kancah antarabangsa -- dalam perlawanan penting dan saat getir. 

"Saya masih berusia 23 tahun, masih banyak yang perlu saya pelajari dan memperbaiki persembahan."

 

Advertisement

Must Watch Video