Skip to main content

Bola Sepak

Kami tidak sepatutnya kalah -- Zidane

espanyol-real-madridcropped_wgeu553uitaf1vtiwmonmxfq3.jpg
ESPANYOL 1 REAL MADRID 0 

Zinedine Zidane berasakan Real Madrid tidak sepatutnya tewas melawan Espanyol dalam LaLiga, awal pagi tadi, walaupun mengakui mereka beraksi buruk dalam babak kedua di Stadium RCDE itu.


Penyandang juara itu mengharungi lima kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan tetapi ia berakhir apabila Gerard Moreno menjaringkan gol kemenangan untuk Espanyol pada penghujung perlawanan.

Kekalahan 1-0 itu akan membawa kepada persoalan berhubung keputusan Zidane merehatkan Cristiano Ronaldo manakala Karim Benzema memulakan aksi pertengahan minggu itu dari bangku simpanan.

Benzema tampil ketika Madrid mahu memberi tekanan untuk memburu kemenangan lewat, sebaliknya hantaran lintang Sergio Garcia membolehkan Moreno mencetak gol pada minit ketiga masa tambahan.

"Kami agak terlepas segala-galanya. Kami bermula dengan baik dan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi babak kedua lebih buruk," kata Zidane.

"Espanyol mempunyai beberapa peluang. Ia kekalahan yang menyakitkan dan keputusan yang buruk -- saya minta maaf untuk pemain.

"Kadang-kadang kamu tidak memahami bola sepak. Kami mempunyai beberapa detik (peluang) pada babak kedua tetapi kamu perlu menerima masa yang sukar.

"Apabila masa hampir tamat dan ia 0-0, pelbagai perkara boleh berlaku. Kami sentiasa mencari kemenangan dan hari ini kami tidak mencapainya.

"Mereka juga menjaringkan gol pada minit-minit akhir tetapi kami tidak perlu berfikir dua kali mengenai hal itu. Kami tidak layak mendapat kemenangan atau kekalahan."

Zidane -- yang memanggil masuk Gareth Bale ketika perlawanan berbaki sembilan minit dan kedudukan kekal tanpa jaringan -- mungkin melihat pasukannya tergelincir ke tangga keempat dalam carta jika pesaing terdekatnya, Valencia, menang di Athletic Bilbao, awal pagi esok.

Mereka akan mencari jalan untuk kembali ke rentak kemenangan apabila menjadi tuan rumah bertemu Getafe hujung minggu ini, diikuti dengan pertembungan besar Liga Juara-Juara Eropah menentang Paris Saint-Germain (PSG) di ibu negara Perancis itu, Rabu ini.

Advertisement

Must Watch Video