Skip to main content

Bola Sepak

Kami tidak ada banyak masa -- Bernhardt

17117bernhardt.jpg
Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Frank Bernhardt, mahu pemain yang terpilih bersama skuad Sukan SEA dapat dikumpulkan bersama bermula pada awal Mei sehingga berlangsungnya temasya itu pada Ogos nanti.

Dia berharap pilihan itu dapat diterima bagi tujuan tahap persediaan lebih baik, terutama dalam soal keserasian dan taktikal pemain.

Perkara itu masih di peringkat perbincangan antara pihaknya dan majikan pemain masing-masing yang dijangka akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Jika menemui jalan buntu, pemain kemungkinan hanya dapat dikumpulkan untuk menjalani latihan bersama pada tarikh perlawanan persahabatan yang  ditetapkan oleh kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Inilah pilihan yang kami bincangkan setakat ini. Beberapa pasukan dan kelab sudah bersetuju. Perubahan bergantung kepada kalendar antarabangsa yang hanya ada dua tarikh pada Mac dan Jun.

"Sebenarnya, kami tidak mempunyai masa yang banyak untuk membuat persiapan," katanya.

Skuad negara akan turun berdepan pasukan B-22 Vietnam dalam aksi persahabatan di Bandaraya Ho Chi Minh, 7 Februari ini.

Selepas itu, mereka akan menyertai Kejohanan B-22 Piala Dubai yang akan disertai lima negara lain, iaitu Jordan, Arab Saudi, Thailand, Korea Utara dan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), 20-28 Mac depan.

"Ia selalunya penting untuk mengadakan perlawanan antarabangsa dan sudah pasti kami mempunyai lawan yang baik. 

"Kami akan lihat nanti apa yang kami dapat dalam perlawanan itu. Piala Dubai adalah kejohanan antarabangsa yang melibatkan enam negara dengan kebanyakannya dari Timur Tengah dan juga pasukan yang kuat," tambahnya. 

Advertisement

Must Watch Video