Skip to main content

Bola Sepak

Kami harus kekal fokus -- Amri

22011amri.jpg
Hasrat tonggak utama Melaka United, Amri Yahyah, untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya dengan kemenangan berdepan Kelantan dalam aksi pembukaan Liga Super tidak kesampaian selepas perlawanan itu ditunda.

Perlawanan -- yang sepatutnya berlangsung semalam, iaitu tarikh sama dengan ulang tahun kelahiran bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu -- ditunda akibat hujan lebat dan padang terjejas teruk.

Amri, yang baru mengikat kontrak bersama juara Liga Perdana musim lalu itu, kecewa kerana keterujaan pasukan untuk beraksi lebur dan terpaksa menunggu perlawanan kedua berdepan Selangor pada 27 Januari ini. 

"Perkara ini sentiasa berlaku di Malaysia. Sebagai pemain, kami harus mengekalkan tahap kecergasan serta fokus untuk perlawanan akan datang," kata Amri.

Pemain Kelantan, S. Subramaniam, pula berharap kembalinya dia ke skuad itu selepas kali terakhir bersama The Red Warriors pada 2013, mampu memberi sinar baru untuknya menyerlah.

Katanya, masa yang terluang selepas perlawanan itu ditunda, akan digunakan bagi membentuk keserasian lebih baik bersama rakan pasukan.

"Saya mahu menggunakan pengalaman saya bersama Kelantan. Saya bersama beberapa pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin dan Badhri Radzi akan cuba memberikan bantuan kepada pemain-pemain muda," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video