Skip to main content

Bola Sepak

Juventus dipaksa bekerja keras untuk layak ke suku akhir Coppa Italia

juve-can-t-take-foot-off-the-gas-allegri.jpg
JUVENTUS 3 ATALANTA 2

Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, mengkritik aksi sambil lewa anak buahnya selepas berjaya lolos ke peringkat suku akhir Coppa Italia dengan mengatasi Atalanta 3-2. 


Pendahulu Serie A itu mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi gol Paulo Dybala dan Mario Mandzukic, namun Abdoulay Konko dan Emmanuel Latte Lath menyamakan kedudukan sebelum Miralem Pjanic menyempurnakan sepakan penalti untuk memberikan kelegaan kepada penyokong di Stadium Juventus.

Kemenangan itu membolehkan Juventus sebagai juara bertahan menempah pertemuan dengan Milan atau Torino, namun Allegri memberi amaran kepada pemainnya supaya berjuang sehingga wisel penamat.

"Kedua-dua pasukan menampilkan aksi yang baik. Malangnya kami mengendurkan permainan dan akhirnya berdepan risiko besar untuk melepaskan gol ketiga. 

"Ketika itu, kami menjadikan kemaraan sesuatu yang rumit berikutan Atalanta mendapat keyakinan dan mula kerap menyerang. 

"Perlawanan seperti ini bagus untuk kami kerana kami perlu belajar bahawa permainan belum tamat dan kami perlu mengelak kesilapan-kesilapan ini.

"Saya faham lawan kami bersemangat tapi saya tidak dapat menerima bahawa kami bersikap sambil lewa. Kami berdepan risiko yang sangat besar. Permainan belum tamat sehinggalah wisel penamat ditiupkan."

Allegri yakin kemampuan pemainnya memenangi perlawanan menerusi aksi yang diperagakan pada awal permainan sekalipun merehatkan beberapa pemain utama termasuk penggempur sensasi, Gonzalo Higuain. 

Namun, pemain Atalanta, Andrea Conti, kerap mencetuskan masalah kepada benteng Juventus dengan mudah. 

Allegri menegaskan gol Atalanta itu boleh dielakkan dengan berkata: "Kami perlu mengamalkan konsep apabila anda menyerang, ia adalah waktu menyerang. Ketika kamu bertahan, ia adalah waktu bertahan. 

"Kami perlu bertindak balas kerana ia semakin kerap berlaku, sekurang-kurangnya sekali sebulan. 

"Apabila perlawanan tampak seakan-akan mudah, kami perlu kekalkan rekod bersih perlawanan. Kami bertahan sangat teruk ketika dibolosi. Selain itu, kami tidak berdepan ancaman. 

"Atalanta melancarkan serangan tapi andai kami bertahan dengan tersusun dan bersungguh-sungguh, kami tidak akan memberikan mereka ruang untuk menjaringkan gol."
 

Advertisement

Must Watch Video