Skip to main content

Bola Sepak

Jualan tiket di Stadium Darulaman bagai pisang goreng panas

300916tiketkedah.png
Kehangatan aksi separuh akhir Piala Malaysia di antara Kedah dan PDRM di Stadium Darulaman, jelas semakin dirasai apabila tiket perlawanan laris dijual sejak penjualan bermula jam 9 pagi tadi.

Tinjauan krew Nadi Arena mendapati ratusan penyokong sudah mula beratur sejak malam tadi untuk mendapatkan tiket.

Bilangannya semakin meningkat awal pagi ini hingga menyebabkan perkarangan stadium sesak.

Penyokong berasak-asak sebaik penjualan tiket dibuka di kaunter, membabitkan sebanyak 16,500 keping tiket.

"Saya tiba dari Bukit Mertajam pukul 1 pagi tadi, pukul 2 pagi sampai rumah, kemudian pukul 7 pagi tadi saya bergegas ke stadium. Sehingga kini, saya masih belum mendapat tiket," jelas salah seorang penyokong pasukan Kedah.

Seorang lagi penyokong skuad Hijau Kuning berkongsi kekecewaannya apabila ada penyokong yang enggan beratur dalam barisan yang telah ditetapkan untuk membeli tiket.

"Penjualan tiket tidak tersusun, semua yang membeli tiket tidak mengikut barisan, itu punca berlakunya kesesakan.

"Jika semua penyokong mengikut susunan dan barisan yang telah ditetapkan, pastinya tidak akan timbul sebarang masalah," tambah seorang lagi penyokong setia Lang Merah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Shaharol Niza Omar, menegaskan pihaknya sudah mengambil langkah terbaik untuk penjualan tiket kali ini.

"Pada malam ini, jika kami mempunyai stadium yang boleh memuatkan sehingga 100,000 penyokong, ia juga pastinya akan penuh.

"Ia berdasarkan kepada keinginan peminat yang mencuba untuk mendapatkan tiket secara dalam talian.

"Salah satu cara penambahbaikan yang telah kami lakukan untuk menggurangkan aktiviti ulat tiket, kami telah mengetatkan kuota penjualan tiket, iaitu setiap pembeli hanya boleh membeli tiga tiket," jelas Shahrol Niza.
 

Advertisement

Must Watch Video