Pelancaran jersi terbaru PKNS FC diterima baik pemain dan pengendali pasukan, E. Elavarasan, yang berasakan warna dan corak jersi itu menyuntik semangat baru bagi menghadapi saingan Liga Super 2017.
Dalam majlis pelancaran jersi dan bas baru yang berlangsung di Laman PKNS, Shah Alam, Selasa lalu, rata-rata corak dan warna baru diperkenalkan itu diterima baik keluarga PKNS FC.
Penyerang terbaru skuad Semut Merah, Safee Sali, mengakui menyukai warna merah-kuning yang diterapkan, apatah lagi ia mengimbau kenangannya ketika bersama skuad abang, Selangor, pada tahun 2006.
"Saya sudah lama mengimpikan untuk kembali menyarung jersi berwarna merah kuning ini," ujar Safee.
Pertahanan import, Gonzalo Soto, turut berkongsi pendapatnya mengenai jersi baru itu.
"Jersi ini sangat cantik dan selesa dipakai," katanya.
Sementara itu, Elavarasan melihat warna baru itu secara tidak langsung meletakkan PKNS FC sebagai wakil Selangor di pentas Liga Super.
"Saya sangat suka dengan warna merah kuning yang diterapkan.
"Saya sememangnya gemar dengan warna yang terang kerana ia mencerminkan semangat sesebuah pasukan," jelasnya.