Skip to main content

Bola Sepak

Jelius harap penyokong kembali gegarkan Likas

fansabah.jpg
Pengendali Sabah, Jelius Ating, berharap penyokong pasukan itu akan kembali menggegarkan Stadium Likas, Kota Kinabalu apabila mereka melayan kunjungan UiTM FC dalam aksi Liga Perdana, malam esok.

"Kali terakhir kami bermain di Likas menyaksikan lebih 20,000 penyokong hadir ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala FA pada awal bulan lalu.

"Tidak dinafikan kehadiran yang ramai ketika itu adalah kerana faktor JDT. Namun, saya juga yakin lebih ramai yang hadir pada waktu itu adalah untuk menyokong kami dan saya harap mereka akan kembali ke stadium malam esok, seterusnya meningkatkan lagi semangat pemain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelius berkata perlawanan itu penting bagi skuad kendaliannya untuk menjarakkan kedudukan dengan UiTM FC yang kini berkongsi mata dengan mereka di tangga ketiga liga.

"Ia bukan tugas mudah kerana UiTM FC setakat ini juga belum pernah tewas dan kami hanya mengatasi mereka dengan kelebihan perbezaan gol.

"Sehubungan itu, saya juga berharap pemain akan memanfaatkan kelebihan ini (beraksi di gelanggang sendiri) kerana hanya dengan kemenangan yang akan mengukuhkan kedudukan kami di tangga kedua, seterusnya menghampiri pendahulu liga, iaitu Felda United," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kesemua pemainnya bebas daripada kecederaan dan sedia untuk beraksi esok kecuali Maffry Balang yang terpaksa menjalani penggantungan perlawanan.

"Saya akan mengekalkan kesebelasan utama sebelum ini kecuali Maffry yang akan digantikan dengan Randy Baruh," katanya.

Jelius dijangka mengekalkan formasi 3-5-2, dengan Robson Rendy Rining kekal sebagai benteng terakhir dan dibantu tiga pertahanan, iaitu ketua pasukan, Rawilson Batuil, Francis Kasonde serta Randy.

Heo Jaenyong pula akan mengemudi bahagian tengah dengan dibantu Sabri Sahar, Mohd Azzizan Nordin, Maxsius Musa, dan Jenius Karib manakala Lee Gil Hoon serta Hector Omar Ramos kekal sebagai pemburu jaringan bagi Sang Badak.

Advertisement

Must Watch Video