Skip to main content

Bola Sepak

JDT selangkah lagi ke saingan utama ACL

jdt-selangkah-lagi-ke-saingan-utama-acl.png
BANGKOK UNITED 1 JDT 1
(JDT mara menerusi penentuan sepakan penalti 5-4)

Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan tempat ke pusingan play-off kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2017 selepas mengharungi aksi mendebarkan sebelum mengatasi Bangkok United 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti, malam ini. 


Dalam aksi pusingan kelayakan kedua di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand, pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti selepas masa sebenar berkesudahan tanpa jaringan sebelum aksi yang berlanjutan ke masa tambahan pula terikat 1-1. 

Anak buah Benjamin Mora terlebih dahulu membuka tirai gol perlawanan pada minit ke-107 hasil sumbangan ketua pasukan, Safiq Rahim. 

Bagaimanapun, kekasaran pemain import mereka, Jeronimo Barrales, sehingga dilayangkan kad merah ketika permainan berbaki 10 minit, menyebabkan JDT tempang untuk mengharungi baki perlawanan. 

Kesempatan itu digunakan oleh tuan rumah untuk mendapatkan jaringan penyamaan daripada situasi kelam-kabut di depan pintu gol JDT menerusi John Okwunwanne pada minit terakhir masa tambahan.

Namun, Fahrizal Marlias bertindak cemerlang di depan pintu gol apabila menepis dua tendangan lawan dalam penentuan sepakan penalti, seterusnya membawa JDT berdepan kelab Gamba Osaka dari Jepun, minggu depan. 

Advertisement

Must Watch Video