Skip to main content

Bola Sepak

JDT jarakkan kedudukan, Kedah pintas Pahang

11717jdt.jpg
Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan cengkamannya di persada Liga Super selepas menewaskan pesaing terdekat, Pahang, 2-0 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam ini.

Sementara itu, sebuah lagi pasukan di kelompok tiga teratas, Kedah, membenam Melaka United 4-2 sekali gus memintas skuad Tok Gajah untuk tempat kedua. 

Dalam aksi di Kuala Terengganu, T-Team bangkit daripada ketinggalan 1-0 untuk menewaskan Kelantan 3-1 hasil sumbangan tiga pemain import berbeza, Dilshod Sharofetdinov, Mamadou Samassa dan Yannick N'Djeng.

Pertembungan dinanti-nantikan di antara JDT dan Pahang menjelmakan aksi penuh mendebarkan sebaik sepak mula dengan keyakinan tinggi Tok Gajah untuk memburu tiga mata.

Bagaimanapun, dalam keghairahan mereka mencari jaringan pembukaan, pelawat terlebih dahulu menghukum pertahanan tuan rumah menerusi gol pendahuluan.

Gonzalo Cabrera memanfaatkan peluang terbuka dengan menyempurnakan hantaran silang Mohammed Ghaddar menerusi sepakan padu untuk menewaskan penjaga gol, Wan Azraie Wan Teh, pada minit kedua.

Ia memaksa skuad bimbingan Dollah Salleh segera bangkit namun kecewa dengan penyudah tumpul. 

Pun begitu, JDT juga gagal menambah jaringan walaupun memiliki kelebihan dan menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan tipis. 

Perlawanan semakin menarik selepas rehat apabila kedua-dua pasukan berbalas serangan, bagaimanapun, Pahang masih gagal perolehi gol penyamaan.

Beberapa pertukaran dibuat Tok Gajah juga tidak memberi impak kepada barisan hadapan, sebaliknya JDT menambah derita skuad itu menerusi jaringan pada minit ke-87 hasil jaringan Natxo Insa.

JDT mendahului sembilan mata di depan Kedah yang berada di tempat kedua, sementara Pahang yang berada di tempat ketiga ketinggalan tiga mata di belakang Kedah. 

Keputusan:

Melaka United    2-4    Kedah 
Pahang                0-2    JDT
T-Team                3-1    Kelantan 
Penang                0-2    PKNS FC
Perak                   0-1    Selangor 
Sarawak              1-3    Felda United

Advertisement

Must Watch Video