Skip to main content

Bola Sepak

Jaringan tunggal Sabah tundukkan UiTM di laman sendiri

15717sabah.jpg
UiTM tewas buat pertama kali di laman sendiri pada dalam Liga Perdana selepas tunduk 1-0 di tangan Sabah hasil jaringan tunggal penyerang import Serbia, Rodoljub Paunovic.

UiTM turun dengan hasrat mengejar kelompok empat pasukan teratas manakala Sabah tampak semakin meningkat sejak di bawah kendalian jurulatih baharu, Jelius Ating.

Permainan ternyata banyak dikuasai UiTM, namun nasib tidak memihak tuan rumah apabila sepakan Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-24 sekadar menggegar palang biarpun berada dalam posisi terbuka untuk mencipta jaringan.

Pelawat mengambil giliran menyerang pada minit ke-37 menerusi sepakan percuma yang diambil Lee Gil Hoon yang berjaya ditepis keluar penjaga gol UiTM, Muhd Soffuan Tawil.

UiTM sekali lagi dihampakan ketumpulan penyudah selepas gerakan direncanakan Akanni Sunday gagal dimanfaatkan Muhd Asnan Awal Hisham pada minit ke-59 apabila rembatan leretnya jauh tersasar.

Ketika UiTM agresif melancarkan serangan, mereka dikejutkan dengan jaringan yang dicipta Sabah pada minit ke-69 hasil tandukan Paunovic yang menghukum kesilapan Onoriode Kughebe menanduk bola ke tengah-tengah kotak penalti.

Akanni Sunday berpeluang menyamakan kedudukan di penghujung perlawanan tetapi kecemerlangan Rozaimie Rohim menafikan hajat UiTM membawa pulang sekurang-kurangnya satu
mata.

Tamat permainan, Sabah meraih kemenangan kelima musim ini dengan keputusan 1-0.

"Kami gagal menyempurnakan peluang kami untuk menjaringkan gol tetapi rezeki tidak menyebelahi kami. Kami harus memperbaiki kesilapan-kesilapan yang dilakukan dan melihat ke hadapan," kata jurulatih UiTM, Wan Mustaffa Wan Ismail.

"Kami sangat berwaspada dalam perlawanan ini, UiTM adalah pasukan yang berkualiti. Kami telah bertahan dengan baik dan berjaya membawa pulang tiga mata penuh," kata Jelius pula.

Advertisement

Must Watch Video