Skip to main content

Bola Sepak

Jaringan Gilmar selamatkan maruah Perak

asiana-gilmar.jpg
PERAK 1 FELDA UNITED 1

Perak gagal mengambil kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 ketika berdepan Felda United dalam saingan Liga Super di Ipoh, sebentar tadi.


Jaringan sepakan penalti oleh Gilmar Jose da Silva pada minit ke-71 menyelamatkan maruah anak buah Mehmet Durakovic berikutan aksi bercelaru yang dipamerkan.

Segalanya bagaikan tidak menjadi tatkala hantaran tidak tepat sering menjadi hidangan pasukan tuan rumah.

Cuma selepas rehat, Perak kembali mendapatkan rentak permainan untuk mengasak Felda dari segenap penjuru sehingga dianugerahkan sepakan penalti.

Sebaliknya, anak buah Mohd Nidzam Jamil harus dipuji ekoran kesungguhan mereka sepanjang 90 minit permainan.

Durakovic melakukan perubahan dalam kesebelasan utama disebabkan ketiadaan Brendan Gan dengan meletakkan kapten, Shahrul Mohd Saad, mengetuai jentera tengah.

Ketiadaan Brendan nyata menjejaskan corak permainan tuan rumah yang turut beraksi di bawah tahap sebenar.

Namun, tuan rumah menguasai permainan dan sepatutnya menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol.

Bagaimanapun, skrip perlawanan berubah apabila Muhammad Hadin Azman melencongkan bola menewaskan penjaga gol skuad The Bos Gaurus, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, dari luar kotak penalti pada minit ke-44.

Perak bangkit selepas itu tetapi Wander Luiz, Gilmar serta Firdaus Saiyadi gagal menyudahkan peluang terhidang.

Namun, nasib nyata bagaikan menyebelahi tuan rumah apabila dihadiahkan penalti selepas Wander Luiz dikasari pada minit ke-70 dan Gilmar mudah menyempurnakan peluang tersebut bagi mengikat kedudukan 1-1 sehingga wisel penamat.

Advertisement

Must Watch Video