Skip to main content

Bola Sepak

James kekurangan sesuatu di Madrid -- Sanchez

james-rodriguez-120717.jpg
Bekas bintang Real Madrid, Hugo Sanchez, percaya karakter James Rodriguez tidak cukup bagus untuk bersama pemenang LaLiga dan Liga Juara-Juara Eropah itu selepas pemain berkenaan menyertai Bayern Munich.

James mengakhiri tempoh mengecewakan di Madrid semalam dengan menyertai gergasi Bundesliga itu selama dua musim secara pinjaman dengan pilihan mengikatnya secara kekal. 

Pemain berusia 25 tahun itu kurang mendapat tempat di Santiago Bernabeu sejurus Zinedine Zidane dilantik sebagai pengurus pada Januari 2016 -- tampil dalam kesebelasan utama dalam 13 perlawanan LaLiga sahaja yang menyaksikan Madrid menenggelamkan Barcelona, musim lalu. 

James akan kembali menjalin kerjasama dengan bekas pengurusnya, Carlo Ancelotti, namun Sanchez -– yang memenangi lima gelaran LaLiga sepanjang beraksi di ibu negara Sepanyol itu -- mempersoalkan bintang Colombia itu. 

"James perlu membuktikan kepada Zidane bahawa dia boleh dipercayai dalam setiap perlawanan, bukan sekadar satu perlawanan sahaja," kata Sanchez kepada Radio MARCA.

"Karakternya perlu kental dan itulah yang kurang mengenai James. 

"Beraksi untuk Real Madrid, anda perlu berusaha lebih gigih."

Sanchez turut berharap Madrid akan dapat mengekalkan penyerang Sepanyol, Alvaro Morata, yang hangat dikaitkan dengan perpindahan. 

Morata kini dikaitkan ke Chelsea berikutan bekas tonggak Juventus itu berhasrat untuk beraksi lebih kerap. 

Biarpun masa depannya tidak menentu, Morata turut serta dalam skuad 26 pemain untuk menghadapi Piala Juara-Juara Antarabangsa di Amerika Syarikat. 

"Morata boleh mendapatkan keuntungan besar tetapi saya berharap langkah itu tidak perlu," tambah Sanchez. 

"Jelas sekali dia mahu beraksi secara kerap berbanding memanaskan bangku simpanan, terutama kerana Piala Dunia akan dilangsungkan pada tahun depan di mana dia mahu menjadi sebahagian tonggak utama pasukan kebangsaan."
 

Advertisement

Must Watch Video