Skip to main content

Bola Sepak

Isu potong mata: Pasukan miskin boleh tutup kedai dan keluar dari Liga M

annuarmusa-030517.jpg
Penasihat  Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, sekali lagi membidas tindakan memotong mata ke atas skuad The Red Warriors (TRW) sambil mendakwa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) sudah menjadi organisasi untuk orang kaya.

Annuar, dalam entri terbaharu Facebooknya, berasakan pasukan yang miskin dan kurang berkemampuan bolehlah memikirkan untuk keluar daripada Liga Malaysia (Liga M).

"FAM dan FMLLP sudah mula menjadi organisasi untuk orang kaya. Negeri dan pasukan yang miskin boleh bersiap untuk tutup kedai dan keluar dari Liga M.

"Mereka yang hanya bising tanpa memberikan apa-apa bantuan bolehlah turut bergembira," katanya.

Annuar menambah semasa beliau mengambil alih KAFA 10 tahun lalu, FAM pada zaman itu memberi peluang pasukan mengurus hutang mengikut keupayaan masing-masing. 

"Justeru, kami bangunkan bola sepak Kelantan. Banyak hutang lapuk kami selesaikan sementara pasukan menjadi gergasi bola Malaysia.  

"Ada hutang? Hutang sentiasa ada, kemudian apabila bola Malaysia menjadi mahal dan dimahalkan, kita berdepan situasi baru. Pemain dicuri dan dipancing pasukan kaya, pemain tuntut gaji tinggi dan lain-lain. Kami cuba membuat penyesuaian untuk terus bersaing. 

“Tahun lalu, dengan tidak disangka-sangka, beberapa penaja tidak membuat pembayaran seperti di dalam kontrak. Kelab mengalami defisit jutaan ringgit. Gaji pemain mula bermasalah. 

"Lazimnya hal seperti ini memakan masa untuk disusun semula. Apakah kita perlu menyelesaikan hutang dan tidak meneruskan penyertaan?"

Annuar, yang juga penaja utama TRW musim ini, menjelaskan prestasi pasukan patut diberi keutamaan dan hutang perlu diuruskan apabila mampu sebagaimana yang dilakukan dalam urusan perniagaan.

"Kalau diikutkan kerana hutang, FAM yang perlu ditutup dulu. FMLLP juga begitu. Penaja MP Silva juga begitu. Mereka berhutang!!!.

"Sila baca laporan kewangan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL). Berapa bilion hutang mereka tanggung? Ada mereka tolak mata di tengah musim? Hutang KAFA ada yang berusia 25 tahun!!!” katanya.

Annuar juga menyifatkan FAM sudah menjadi cacamarba dan bola sepak Malaysia sedang menuju kematian.

"Ringkasnya, FAM menjadi semakin cacamarba. Bola bukan saja tak maju, malah mula mati terus!!!. Dulu kedengaran janji bahawa pasukan akan diberi RM2 juta hingga 3 juta. Belum pun itu ditunaikan, pasukan dicekik di tengah musim. Apakah ini pembaharuan yang ingin dibawa???"

 

Advertisement

Must Watch Video