Skip to main content

Bola Sepak

Inter rapuh ketika ini, kata Spalletti

spalleti.jpg
Jaringan sendiri Andrea Ranocchia mengundang kekalahan 2-0 Inter Milan di Genoa, menurut jurulatih, Luciano Spalletti.

Pertembungan di Stadio Luigi Ferraris itu seimbang pada separuh masa pertama sebelum usaha terakhir Milan Skriniar pada hujung separuh pertama yang mengenai Ranocchia menerjah ke gawang. 

Goran Pandev kemudian meledak gol ke atas bekas kelabnya itu pada minit ke-59 dan tanpa Mauro Icardi dan Ivan Perisic yang mengalami kecederaan, ia secara tidak langsung menjejaskan sumber inspirasi jentera serangan Inter.

"Perlawanan ini seimbang dan kami beroleh kesempatan terbaik pada babak pertama. Namun, apabila dihukum sebegitu, bukan mudah untuk mendapatkan semula keyakinan," kata Spalletti.

"Bagaimanapun, kami kembali dari bilik persalinan dengan cuba memberi saingan dan menguasai bahagian tengah.

"Kami memerlukan lebih banyak keseimbangan, kami tidak dapat menguasai bola dengan kualiti yang kami perlukan. Kegopohan membuatkan segalanya tidak menjadi buat kami."

Inter hanya meraih satu kemenangan tahun ini selain bakal tercicir daripada  kelompok empat pasukan teratas Serie A jika Lazio mengalahkan Verona, awal pagi esok.

Justeru, Spalletti mengakui keyakinan mereka yang terjejas teruk.

"Pasukan ini tidak berada pada prestasi buruk, kami perlu memberikan saingan dan menunggu detik tepat untuk mendahului," katanya.

"Kami rapuh ketika ini, kami perlu berkembang dari semasa ke semasa. Tidak mudah untuk mengubah keadaan dengan sekelip mata.

"Kami berusaha untuk melakukan sesuatu yang berbeza dan saya fikir kami sedang menuju ke arah yang betul.

"Adalah lebih baik kalau kami dapat menggabungkannya, namun kami tidak boleh menafikan pilihan yang telah dibuat. Mereka tidak cukup bagus dalam kekalahan itu."
 

Advertisement

Must Watch Video