Skip to main content

Bola Sepak

Impak Pugh julang UiTM FC

lucas-ramon-pugh.jpg
Pengendali UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail, menyifatkan penyerang baharu, Lucas Ramon Pugh, sudah mula menunjukkan taring selaku penggempur berbisa musim ini.

Kelibat pemain berusia 24 tahun itu mendapat perhatian selepas membantu pasukannya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan Liga Perdana setakat ini.

“Selaku bekas pemain Piala Dunia Remaja bersama negaranya (Argentina), Lucas membuktikan dia bukan calang-calang penyerang.

“Namun, perjalanan masih panjang. Jadi, saya berharap kemenangan ini menyuntik semangat kami dan sebagai pasukan kerdil, UiTM FC tidak boleh leka,” ujarnya.

Penyerang lincah itu muncul wira pasukannya malam tadi dengan meledak dua gol dalam kemenangan 3-2 ke atas Terengganu FC (TFC) II di Kuala Terengganu.

Babak pertama menyaksikan UiTM FC mendahului menerusi jaringan Bakary Dao (m-15) sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-34.

Aksi semakin sengit apabila Pugh menjaringkan gol kedua UiTM FC, tiga minit kemudian, namun Akanni Sunday sekali lagi mengubah kedudukan menjadi 2-2 di penghujung separuh masa.

Gol kemenangan pelawat hadir 10 minit sebelum wisel penamat apabila Pugh berjaya menggelecek pertahanan TFC II untuk tenang menyumbat jaringan keempatnya musim ini.

Pemain kelahiran Argentina itu yang ditemui sejurus tamat perlawanan menyifatkan prestasinya semakin baik selain mula menyesuaikan diri dengan corak permainan liga tempatan.

“Keserasian antara pemain-pemain semakin baik dan kami menunjukkan persembahan positif.

"Saya meletakkan sasaran untuk mencetak lebih banyak gol bersama pasukan ini,” kata Pugh. 
 

Advertisement

Must Watch Video