Skip to main content

Bola Sepak

Husin: Jangan guna saluran media dahulu

husin-deraman-sua_1.jpg
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) membidas tindakan pemain tengahnya, S. Veenod, yang menggunakan saluran media bagi meluahkan perasaan tidak puas hatinya akibat digugurkan daripada skuad The Red Warriors (TRW) tanpa merujuk kepada badan induk itu terlebih dahulu.

Setiausaha  Agung KAFA, Husin Deraman berkata, pihaknya kesal dengan tindakan Veenod dalam isu tersebut (menggunakan saluran media) dan akan memanggil semula pemain berusia 31 tahun itu dalam masa terdekat.
 
"Tindakan Venood menggunakan saluran media tanpa membuat rujukan kepada pihak KAFA adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku kerana ia boleh menimbulkan salah faham daripada pelbagai pihak.

"Sebagai pemain dan pegawai pasukan, mereka harus menerima keputusan pihak pengurusan dengan hati terbuka demi kebaikan bersama kerana ia menjadi matlamat yang paling utama,” katanya.
 
Husin juga berkata, selain Venood, beberapa pemain lagi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membincangkan masa depan mereka dalam TRW dalam mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
 
“Beberapa pemain yang gagal menunjukkan prestasi terbaik dan tidak berada dalam perancangan ketua jurulatih, Fajr Ibrahim, juga akan dipanggil bagi mengadakan perbincangan.

“Rombakan itu penting bagi memastikan TRW kekal sebagai pesaing dalam saingan peringkat tertinggi domestik,” katanya.
 
Untuk rekod,  KAFA membuat tindakan drastik dengan  menstrukturkan semula barisan pemainnya apabila mengugurkan enam pemain, iaitu Sukri Abd Hamid, Shafiq Ab Rahman, Tengku Qayyum Ubaidillah, Hattaphon Bun An dan pemain import dari Indonesia, Ferdinand Sinaga, serta meminjamkan Mohd Norfarhan Muhammad ke D'AR Wanderers FC.

Advertisement

Must Watch Video