Skip to main content

Bola Sepak

Hummels: Tidak perlu main cantik untuk menang

hummels.jpg
Mats Hummels sedar Bayern Munich perlu mengetepikan keinginan memperagakan aksi menarik dan bersedia berjuang habis-habisan untuk mengatasi  Besiktas dalam Liga Juara-Juara (UCL). 

Bayern bangkit daripada permulaan lembab pada awal musim ini yang menyaksikan mereka tumpas 3-0 kepada Paris Saint-Germain (PSG) lalu menamatkan Kumpulan B di belakang pencabar dari Ligue 1 itu sehingga membawa kepada pemecatan Carlo Ancelotti.

Sementara itu, Besiktas yang mendahului Kumpulan G -- berkelebihan empat mata daripada Porto -- berazam untuk melakar kejutan ke atas gergasi Bundesliga itu dalam pertemuan pertama pusingan 16 di Allianz Arena, awal pagi esok. 

"Ini sentiasa menjadi fasa yang sangat istimewa," Hummels memberitahu sidang berita menjelang kunjungan juara Super Lig itu.

"Perkara yang bagusnya, kami tidak perlu sentiasa tampil menarik untuk menang. Acap kali perkara lain menjadi lebih penting daripada persembahan menarik.

"Kami sedar kami akan berdepan pasukan terbaik Eropah berdasarkan pencapaian meyakinkan mereka di peringkat kumpulan. 

"Mereka mempunyai nama besar di dalam pasukan. Seperti yang kita saksikan, mereka juga mempunyai kualiti sebenar dalam permainan mereka, taktikal dan individu.

"Itulah sebabnya kami perlu terlebih dahulu menelan hakikat bahawa kami harus melepasi Besiktas dan mendapat kelebihan di laman sendiri."

Hummels mendakwa Bayern semakin mantap di bawah kendalian Jupp Heynckes, yang kembali daripada persaraan untuk menggantikan Ancelotti susulan kekalahan besar di Parc des Princes, September lalu. 

"Itu sudah lama berlalu," katanya mengenai persembahan buruk di ibu negara Perancis itu.

"Keputusannya sama buruk dengan permainan kami, kami tidak perlu tewas 3-0. Kami tahu kami mampu bertambah baik dan sejak itu kami membuat beberapa penambahbaikan.

"Tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki jika kami ingin memenangi UCL. Ini boleh menjadi langkah yang seterusnya."

Advertisement

Must Watch Video