Hilang fokus menjadi punca Sarawak gagal mencuri tiga mata dalam aksi menentang Kedah, Jumaat lalu.
Ketua jurulatih, David Usop, berkata sepanjang 45 minit pertama, anak-anak buahnya menunjukkan prestasi yang memberangsangkan hingga berjaya mendahului 2-1 biarpun berhadapan sorakan lebih 25,000 penyokong tuan rumah yang menerima tiket percuma.
"Kami menyerap tekanan sepantas mungkin hingga Matt Hartmann menemui jaring gol pada minit kesembilan.
"Biarpun Baddrol Bakhtiar menghidupkan peluang Kedah menerusi jaringan pada minit ke-21, kami kembali mendahului pada minit ke-29 melalui Tommy Mawat Bada," katanya.
Kata David, ia menggambarkan kesungguhan anak-anak buahnya untuk muncul sebagai pemenang malam itu.
"Namun keletihan, kelalaian dan hilang fokus, termasuk aksi cemerlang pemain kebangsaan, Mohd Syazwan Zainon, kemudian merencatkan kelebihan kami.
"Bukan sahaja Kedah menyamakan kedudukan menerusi Sandro da Silva, malah kelincahan Syazwan meranapkan harapan tiga mata kami dalam hanya dua minit, iaitu minit ke-71 dan 72.
Menurut David, anak-anak buahnya cuba bangkit untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata, namun usaha bertubi-tubi selama 15 minit terakhir itu gagal.
"Secara keseluruhannya, saya gembira dan berpuas hati dengan aksi anak-anak buah.
"Mereka telah memberikan yang terbaik dan menunjukkan penguasaan. Malah, saya memuji aksi pemain muda yang tidak sedikit pun gentar menghadapi tekanan.
"Di benteng pertahanan, Demerson Bruno Costa dan Ronny Harun juga menunjukkan keserasian yang positif," katanya lagi.
Dalam melayani kehadiran Pahang di Stadium Negeri pada 4 Februari depan, David menuntut aksi bermati-matian pemainnya untuk memastikan tiga mata dalam genggaman.
"Tidak ada pilihan. Kemenangan ini penting untuk mengukuhkan kedudukan pasukan selepas ini," katanya.
Mengenai Tommy yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-70 dalam aksi menentang Kedah, keputusan untuk menurunnya hanya akan dapat ditentukan dalam tempoh dua tiga hari ini.
Sarawak kini mempunyai bekalan satu mata selepas mengikat T-Team di Kuala Terengganu dalam aksi pembukaan.