Skip to main content

Bola Sepak

Heynckes puas hati peranan Muller

muller_3.jpg
Jupp Heynckes menghamburkan pujian terhadap Thomas Muller yang mengubah tempo permainan susulan kemenangan Bayern Munich ke atas Wolfsburg dalam Bundesliga, awal pagi tadi. 

Gol pembukaan Daniel Didavi meletakkan tuan rumah di hadapan dan biarpun Sandro Wagner menyamakan kedudukan pada pertengahan babak kedua, Bayern terpaksa menunggu sehingga minit ke-91 untuk wira, Robert Lewandowski, menyempurnakan penalti selepas Arjen Robben terlebih dahulu gagal menyudahkan kesempatan pertama.

Pengenalan Muller pada minit ke-62 membawa perubahan besar dalam perlawanan itu sehingga mendorong Heynckes menjelaskan bahawa bintang Jerman berkenaan merupakan kunci kemenangan Bayern.

"Kemasukan Muller telah mengubah permainan kami kerana dia sangat fleksibel, dia menyusup di barisan pertahanan dan juga membuka ruang untuk rakan sepasukan," kata Heynckes.

"Dengan gol awal, Wolfsburg mampu meningkatkan permainan mereka dan menjadi padat dan bertahan. Kami bergelut pada separuh masa pertama kerana kami tidak bergandingan dengan baik.

"Kami telah menguasai permainan tetapi tidak berjaya menembusi pertahanan Wolfsburg. Saya mendapati kami sukar mencipta peluang..

"Pada babak kedua, kami bermain lebih lancar dan pantas, kami akhirnya gembira. Untuk Wolfsburg, ia keputusan yang sangat pahit kerana mereka telah berjuang hebat," katanya.

Sementara itu, pengurus Wolfsburg, Martin Schmidt, meratapi kekurangan klinikal pasukannya.

"Kami bertahan dengan baik sejak sekian lama. Kami tewas hari ini kerana serangan kami tidak cukup berbisa," katanya kepada laman sesawang rasmi kelab itu.

"Kami menghantar bola dengan segera, kami mempunyai perancangan yang jelas di mana bola harus pergi. Pada separuh masa kedua, kami mempunyai dua atau tiga peluang menarik tetapi sering kali gagal dalam hantaran terakhir. 

"Pada satu ketika, kami menghadapi tekanan hebat, jadi usaha itu belum cukup untuk menang."

Dengan Wolfsburg kini menumpukan kepada pertembungan dengan Mainz, Heynckes dan Bayern pula mengalih perhatian mereka kepada pusingan 16 Liga Juara-Juara bertemu Besiktas pada pertengahan minggu depan.

Advertisement

Must Watch Video