LIGA INGGERIS
The Hammers jadi keutamaan Hart
CHELSEA 1 WEST HAM 1
Joe Hart berharap dapat terus membantu West Ham untuk mengelak daripada penyingkiran musim ini berbanding mendapatkan tempat dalam skuad England ke Piala Dunia.
Hart, yang dipinjamkan kepadaThe Hammers daripada Manchester City, mengharungi musim yang sukar dengan aksi kurang konsisten, sekali gus menyaksikan dia gagal mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama England.
Iklan
Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu mempamerkan aksi terbaik di Stamford Bridge semalam, dengan menampan beberapa percubaan jaringan Chelsea ketika West Ham mengikat The Blues 1-1.
Walaupun persembahannya itu menempatkan Hart dalam skuad Gareth Southgate, dia menegaskan tumpuannya adalah memastikan West Ham terus bersaing dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Saya memberikan tumpuan kepada West Ham, bukan England, itu tugas saya," kata Hart.
"Kami cuba mempamerkan semangat dalam pasukan ini, berjuang bersama-sama dan keputusan perlawanan menunjukkan kami mampu menampilkan aksi cemerlang.
"Stoke City adalah lawan seterusnya, kami akan cuba menampilkan persembahan yang sama."
Hart perlu berada di tahap terbaik bagi memastikan mereka mengikat Chelsea -- Willian, Eden Hazard dan Alvaro Morata merupakan ancaman utama sepanjang perlawanan tetapi Cesar Azpilicueta yang berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-36.
Chelsea mendominasi perlawanan selepas perlawanan bersambun, tetapi West Ham berjaya menyerap setiap tekanan dan Javier Hernandez yang hadir sebagai pemain gantian meledak gol penyamaan pada minit ke-73.
Must-Watch Video