Skip to main content

Bola Sepak

Hadapi aksi 'derby', Allegri nafi taksub dengan UCL

allegri_1.jpg
Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri, menegaskan dia tidak taksub untuk memenangi Liga Juara-Juara (UCL) dan tidak mahu pasukannya hilang fokus dalam Serie A menjelang 'derby' menentang Torino, hujung minggu ini. 

Juve melepaskan kelebihan dua gol ke atas Tottenham Hotspur dalam pertemuan pertama yang berakhir 2-2 tempoh hari, sekaligus menyulitkan mereka untuk layak ke suku akhir menjelang aksi timbal balik di Wembley nanti. 

Keputusan itu disambut dengan kekecewaan oleh peminat di Stadium Allianz yang menyaksikan pasukannya dikecewakan dua kali dalam final tiga tahun terakhir ini -- yang terbaru kepada Real Madrid pada Mei lalu.

Begitupun, Allegri menganggap kejayaan dalam Serie A dan Coppa Italia tetap penting dan berasakan kegagalan untuk mengalahkan Spurs tidak seharusnya dianggap sebagai bencana.

"Kami tidak harus taksub dengan pengalaman UCL kerana apabila ia menghantui fikiran, anda tidak akan menang!" kata Allegri dalam sidang akhbar.

"Semua orang di Juventus sepatutnya sangat bangga kerana kami stabil dalam kalangan 10 kelab utama Eropah.

"Perkara penting ketika ini ialah untuk memberi tumpuan kepada Serie A dan separuh akhir Coppa Italia kerana perjalanan ke Wembley dan 6 Mac ini masih jauh.

"Kami mempunyai peluang yang sama seperti sebelum pertemuan pertama, kami membuat banyak kesilapan. Hantaran kami hanya sekitar 55 peratus sempurna, kebiasaannya 70 peratus.

"Tottenham merupakan antara pasukan yang paling produktif dalam Liga Perdana beberapa tahun ini menerusi pertahanan ampuh dan penggempur berbisa. Mereka bukan pasukan yang mudah untuk dihadapi," tambahnya.

Juve akan mengalu-alukan Paulo Dybala dalam aksi 'derby' nanti walaupun Allegri mengatakan pemain antarabangsa Argentina itu belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring untuk diturunkan dalam kesebelasan utama. 

Mario Mandzukic juga akan tersisih kerana faktor kesihatan sementara Federico Bernardeschi akan menghadapi ujian kecergasan lewat dan Gianluigi Buffon akan direhatkan.

"Mandzukic demam, jadi saya menghantarnya pulang," kata Allegri. "Bernardeschi mempunyai masalah otot dalam latihan semalam, dia boleh diturunkan tetapi kami perlu membuat penilaian akhir. 

"Keadaan Dybala baik tapi belum cukup untuk dia memulakan perlawanan, mungkin dia boleh beraksi kira-kira 30 minit. Minggu depan, Blaise Matuidi juga boleh diturunkan semula.

"Seperti yang dirancang, Buffon akan berehat dan kembali menentang Atalanta dalam separuh akhir Coppa Italia. Wojciech Szczesny akan diturunkan."

 

Advertisement

Must Watch Video