Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola sasar lebih banyak trofi selepas kejayaan EFL

guardiola-efl.jpg
Pep Guardiola menyasarkan untuk mengakhiri musim ini dengan lebih banyak trofi selepas meraih trofi pertamanya selaku pengurus Manchester City dalam final Piala Liga, awal pagi tadi.

Bakal juara Liga Perdana Inggeris 2017-18 itu mempersendakan Arsenal di Wembley dengan kemenangan 3-0 hasil jaringan Sergio Aguero, Vincent Kompany dan David Silva.

Kekalahan kepada kelab Liga Satu, Wigan Athletic, terdahulu melenyapkan impian City untuk menyapu empat gelaran musim ini tetapi mereka akan bersemangat untuk mengekalkan jurang 16 mata di puncak carta Liga Perdana apabila berkunjung ke Arsenal, Khamis ini.

Tempat dalam suku akhir Liga Juara-Juara juga kelihatan terjamin, dengan City berkelebihan 4-0 ke atas Basel dan Guardiola tidak akan mudah berpuas hati dengan Piala Liga dalam pada dia menyasarkan untuk mengembalikan dominasi yang dinikmatinya ketika di Barcelona dan Bayern Munich.

“Ia sangat penting untuk memenangi trofi ini selepas kekalahan dalam Piala FA,” kata Guardiola kepada Sky Sports.

"Adalah malang kami bermain 45 minit dengan 10 menentang 11. Piala FA sentiasa sukar tapi kami bermain baik, cuma malangnya kami tidak dapat terus mara.

"Tapi kini kami perlu fokus sepenuhnya dalam Liga Perdana untuk cuba memenangi perlawanan-perlawanan dan harap-harap berkeadaan baik dalam suku akhir Liga Juara-Juara.”

Aguero memanfaatkan kelonggaran pertahanan Arsenal untuk membuka jaringan sebelum City semakin berasa selesa dalam separuh masa kedua.

“Dalam separuh masa pertama, kami tidaklah begitu bagus,” katanya. “Terlalu banyak kesilapan dalam hantaran-hantara mudah.

“Separuh masa kedua, kami bermain dengan lebih keberanian, personaliti dan kerana itulah, kami bermain dengan lebih baik. Dalam separuh masa kedua, kami benar-benar cemerlang.”


 

Advertisement

Must Watch Video