Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola: City belum sedia juarai UCL

pep-guardiola_5.jpg
Pep Guardiola masih berasakan Manchester City perlu memperbaiki corak permainan jika mahu mencapai tahap terbaik dan menjuarai Liga Juara-Juara (UCL).

City seperti beraksi di laman sendiri dalam saingan UCL tetapi mereka kini semakin hampir menuju jalan keluar selepas ketinggalan 3-0 ketika bertemu Liverpool dalam aksi suku akhir pertama di Anfield.

Dalam aksi peringkat kumpulan, City meraih lima kemenangan daripada enam perlawanan, dengan menjaringkan 14 gol dan hanya bolos lima kali.

Mereka terus cemerlang ketika mengetepikan Basel dalam pusingan 16 dan mara ke suku akhir walaupun tewas 2-1 di Stadium Etihad.

Bagaimanapun, impian mereka merangkul 'treble' musim ini menemui laluan sukar selepas tewas kepada The Reds ketika mendominasi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Daripada apa yang saya lihat di Anfield, saya berasakan kami telah menuju ke hadapan dalam gaya permainan kami," kata Guardiola.

"Musim lalu, saya tidak berasakan kami sudah bersedia, kali ini saya turut rasa perkara yang sama tetapi kami telah melonjak ke hadapan.

"Kami telah beraksi cemerlang dalam peringkat kumpulan dan aksi berdepan Basel.

"City masih lagi dalam saingan UCL. Kami akan menerima kunjungan Liverpool dan anda akan menyaksikan perlawanan yang menarik," katanya lagi

City hanya memerlukan satu kemenangan lagi untuk merangkul trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan boleh mengesahkannya dengan kemenangan ke atas Manchester United esok.

Ia bakal menjadi kejayaan terpantas daripada kelab untuk meraih gelaran EPL tetapi Guardiola tidak menjangkakan ia mampu dilakukan musim depan.

"Kejayaan ini tidak akan berulang musim depan. Memenangi 18 perlawanan berturut-turut, tidak mungkin, mustahil.

"Lawan akan cuba menewaskan anda. Saya telah mengalaminya di Barcelona. Musim depan akan menjadi lebih rumit," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video