Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola cari jalan sekat Salah

pepguardiola_1.jpg
Pep Guardiola sedang berusaha merangka perancangan terbaik untuk menghalang Mohamed Salah dan jentera serangan Liverpool ketika Manchester City berkunjung ke Anfield bagi aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), Rabu ini.

Pemain sayap kebangsaan Mesir itu kini telah meledak 37 gol dalam semua kejohanan dalam penampilan sulung musim ini bersama Liverpool.

City telah merasai sengat jentera serangan Liverpool ketika tewas 4-3 di Anfield pada Januari lalu, dengan Roberto Firmino, Sadio Mane dan Salah menjaringkan gol dalam tempoh sembilan minit pada separuh masa kedua.

Guardiola tidak mahu City terlalu menumpukan kepada ancaman Salah, sebaliknya menyifatkan skuad kendalian Jurgen Klopp itu memiliki senjata yang berbahaya dalam usaha untuk mengekang kemaraan mereka nanti.

"Saya memerlukan penelitian yang khusus terhadap Salah," kata Guardiola.

"Tetapi bukan sahaja dia. Mane dan Firmino – ketiga-tiganya sangat berkualiti. Cara Liverpool bermain merumitkan kami. Mereka sangat pantas tetapi dalam saingan suku akhir UCL, kami sudah menjangkakan aksi yang sukar.

Kemenangan 3-1 City ke atas Everton pada Sabtu lalu bermakna mereka boleh dinobat sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika berdepan Manchester United di Stadium Etihad, minggu depan.

Peluang yang dinanti-nantikan peminat akhirnya datang buat penyokong The Citizen, tetapi Guardiola enggan terbawa-bawa dengan perkara itu.

"Saya mahu memenangi EPL. Saya menggemari Manchester City dan seorang penyokong Barcelona.

"Sememangnya saya mahu mencipta kemenangan ke atas United di laman sendiri tetapi tiga hari sebelum berdepan United, kami bertemu Liverpool dan tiga hari selepas itu, kami akan menghadapi aksi timbal balik.

"Saya menyedari bahawa semua pihak mahu kami memenangi liga dalam perlawanan dengan United.

"Tetapi kami akan cuba memberikan fokus terhadap aksi berdepan Liverpool terlebih dahulu."

Advertisement

Must Watch Video