Polis menahan seorang lelaki berusia 20-an kerana disyaki merogol dan melakukan serangan semalam selepas Manchester United menggantung penyerang, Mason Greenwood, berikutan satu tuduhan yang dihadapinya di media sosial.
Polis Greater Manchester (GMP) berkata mereka telah dimaklumkan tentang 'imej dan rakaman di media sosial yang disiarkan oleh seorang wanita yang melaporkan insiden keganasan fizikal'.
GMP dalam satu kenyataan berkata: "Siasatan telah dilancarkan dan berikutan siasatan itu, kami mengesahkan penahanan seorang pemuda berusia 20-an kerana disyaki merogol dan menyerang.
"Dia kekal dalam tahanan untuk disoal siasat. Siasatan sedang dijalankan."
United pada awal pagi tadi mengatakan penyerang England berusia 20 tahun itu tidak akan kembali berlatih atau terbabit dengan perlawanan hingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Sebelum mengumumkan keputusan itu, kelab berkenaan berkata mereka menyedari imej dan dakwaan yang beredar berhubung pemain tersebut sambil menyatakan mereka tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk keganasan.
Greenwood menandatangani kontrak profesional pertama dengan United pada Oktober 2018 dan tahun lalu bersetuju dengan perjanjian baru selama empat tahun selepas menempatkan dirinya dalam skuad pasukan utama kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Greenwood, bagaimanapun, belum mengulas pertuduhan itu.