Skip to main content

Bola Sepak

Grealish masih tercari-cari rentak sebenar di Manchester City

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

grealish.jpg
Jack Grealish mengakui masih dalam tempoh menyesuaikan diri di Manchester City dan ia jauh lebih sukar daripada yang dibayangkannya selain berdepan tekanan dengan tanda harga pembeliannya yang bernilai £100 juta (RM561.6j). 

Pemain tengah penyerang itu masih belum mencapai prestasi terbaik bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sejak perpindahan sensasinya daripada Aston Villa dalam jendela perpindahan terakhir.

Setakat ini, Grealish telah menyumbangkan tiga gol, tiga bantuan jaringan dan mencipta 44 peluang buat rakan sepasukannya dalam 20 penampilan. 

Tumpuan terarah kepada Grealish dan rakan sepasukannya, Phil Foden, selepas gambar mereka di kelab malam tersebar berikutan kemenangan bergaya 7-0 ke atas Leeds United hingga mengundang tindakan daripada pengurusan kelab itu. 

Kedua-dua pemain kemudian sekadar menjadi penonton ketika City menundukkan Newcastle United 4-0, tetapi mereka mungkin kembali apabila pasukan bimbingan Pep Guardiola itu menerima kunjungan Leicester City pada 'Boxing Day', malam ini.

Bercakap kepada Sky Sports menjelang perlawanan itu, Grealish menjelaskan kehidupan barunya di City. 

"Saya menuruti segala arahan setakat ini. Banyak lagi yang boleh saya tawarkan. Ia jauh lebih sukar daripada yang saya fikirkan," katanya.






"Saya masih belajar dan menyesuaikan diri. Saya pernah mendengar sesetengah pemain mengambil masa setahun untuk menyesuaikan diri di sini jadi mungkin saya juga begitu. Saya mahu menjaringkan lebih banyak gol dan menyasarkan lebih banyak jaringan pada tahun depan.

"Tahap di sini tidak masuk akal kerana sangat tinggi, baik di dalam mahupun di luar padang. 

"Sukar untuk mempercayainya dan itulah sebabnya mereka begitu berjaya selama ini.

"Datang dengan tanda harga £100j bermakna orang ramai akan mempersoalkan adakah saya merupakan pembelian berbaloi termasuk daripada segi gol dan bantuan jaringan. 

"Saya memahaminya tetapi saya perlu melihatnya sebagai satu bentuk keistimewaan atas kesediaan kelab membelanjakan wang sebanyak itu ke atas saya dan saya berharap mampu membalasnya dengan gol dan trofi.

"Bermain dalam Liga Juara-Juara (UCL) adalah berbeza sama sekali dengan EPL -- saya tidak pernah beraksi di peringkat Eropah sebelum ini dan saya benar-benar menginginkannya. Amat sukar dipercayai apabila lagu UCL berkumandang, ia membuatkan saya mencubit diri sendiri. Ia adalah satu trofi yang benar-benar didambakan pemain di sini. Kami mahu memenanginya."

 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video