Skip to main content

Bola Sepak

Forster idam peranan utama di depan gawang

fraser-forster-090617.jpg
Fraser Forster berhasrat untuk muncul sebagai penjaga gawang utama England dengan merampas posisi itu daripada Joe Hart. 

Benteng terakhir Southampton itu merupakan salah seorang daripada empat penjaga gawang dalam skuad Gareth Southgate yang akan berdepan Scotland dalam kelayakan Piala Dunia sebelum menentang Perancis dalam aksi ujian. 

Pada ketika Hart dijangka kekal pilihan utama Southgate, Forster percaya masanya akan tiba pada masa akang datang manakala Jack Butland (Stoke City) dan ketua pasukan Burnley, Tom Heaton, turut mengintai tempat dalam skuad Piala Dunia. 

"Ternyata ketika ini, England memiliki ramai calon penjaga gol, namun Joe Hart adalah calon utama," kata Forster kepada Sky Sports. 

"Dia memainkan peranan itu berdasarkan pencapaiannya musim ini dan sebelumnya bersama England. Suatu hari nanti, saya mahu menyarung jersi nombor satu tetapi itu menuntut kerja keras. 

"Saya perlu menampilkan aksi sebaik mungkin bersama Southampton dan cuba memenangi tempat untuk ke Russia. 

"Kalau saya bermain baik, maka saya boleh memberi tekanan kepada Joe untuk beraksi bagus sepanjang masa, kemudian terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan.

"Ia musim penting buat semua orang. Saya kembali beraksi dan mengharungi musim yang cemerlang. Saya mahu bekerja keras sedaya-upaya untuk terus meningkatkan prestasi."

England menuju ke Hampden Park dengan kelebihan empat mata di puncak Kumpulan F dan biarpun mereka mengalahkan Scotland 3-0 di Wembley pada November lalu, Forster menjangkakan cabaran hebat. 

"Ia perlawanan getir di mana kami mahu menang, kami sedar ia perlawanan yang sukar," tambahnya yang tidak dibolosi dalam enam perlawanan berturut-turut sejak kembali daripada kecederaan di peringkat kelab. 

"Penting bagi kami pergi ke Scotland dan memungut tiga mata."
 

Advertisement

Must Watch Video