Skip to main content

Bola Sepak

Fokus Ronaldo hanya pada Piala Konfederasi

22617ronaldo.png
RUSSIA 0 PORTUGAL 1

Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, enggan menjawab soalan mengenai masa depannya kepada sidang media selepas dia dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan apabila membantu Portugal meraih kemenangan 1-0 ke atas Russia dalam saingan Piala Konfederasi, semalam.


Pemain berusia 32 tahun itu menjaringkan gol tunggal perlawanan selepas berjaya menewaskan penjaga gol berpengalaman, Igor Akinfeev, bagi membantu Portugal meraih tiga mata penuh di Moscow.

Sebagai pemain terbaik perlawanan, Ronaldo perlu ditemubual oleh media tetapi dia enggan menjawab sebarang soalan mengenai masa depannya bersama Real dan hanya memberikan fokus kepada saingan kali ini.

"Ternyata kami sangat gembira di atas kemenangan ini, ia merupakan kali pertama Portugal melakar kemenangan ke atas Russia," kata Ronaldo.

"Saya berasakan pasukan bermain dengan baik. Kami berdepan pasukan tuan rumah, Russia, yang memberikan tekanan sepanjang perlawanan tetapi kami berjaya mempamerkan permainan yang terbaik.

"Kami memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan ini. Kami kini memiliki empat mata dan saya mahu mengucapkan tahniah kepada pasukan saya."

Ronaldo telah menjadi perbualan hangat sejak awal bulan ini apabila didakwa memiliki kes penipuan cukai yang bernilai EURO14.7 juta (RM70.3 juta).

Terdapat laporan juga yang mencadangkan Ronaldo sudah memasang niat untuk berhijrah meninggalkan Real dan Sepanyol, tetapi presiden kelab, Florentino Perez menegaskan bahawa mereka tidak memiliki sebarang niat untuk menjual bekas penyerang Manchester United itu.
 

Advertisement

Must Watch Video