Skip to main content

Bola Sepak

Fokus PKNS kini tertumpu kepada Liga Super -- Gartung

19717pknsfc.jpg
Pengendali PKNS FC, Sven Gartung, berharap permulaan positif bersama pasukan itu dapat diteruskan meskipun menyedari tekanan semakin memuncak untuk memastikan mereka kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

PKNS FC meraih mata sulung dalam kempen Piala Malaysia musim ini selepas terikat tanpa jaringan menentang Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, semalam.

Hanya satu mata selepas tiga perlawanan, peluang PKNS untuk mencapai sasaran mara ke suku akhir dilihat semakin tipis.

Lantaran itu, Gartung kini boleh memberi lebih tumpuan kepada saingan Liga Super yang menyaksikan mereka masih belum selamat daripada zon penyingkiran.

Berdasarkan persembahan menentang Kuala Lumpur, Gartung yakin dapat melihat beberapa perubahan yang dirasakan dapat membantu skuadnya berjuang dalam Liga Super.

"Kami perlu menyelamatkan pasukan daripada penyingkiran. Kami cuba mempertingkatkan mutu pertahanan kami, saya gembira menyaksikan persembahan pemain-pemain saya," katanya.

Sementara itu, pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel Da Silva, mempertahan keputusan untuk tidak menurunkan penyerang utama, Guilherme De Paula, bagi pertemuan itu.

Dengan cabaran Liga Perdana masih menjadi tumpuan, Da Silva mahukan keseimbangan dalam pasukan supaya dapat memberikan saingan dalam kedua-dua pertandingan.

Meskipun sekadar meraih dua mata ketika ini, beliau tetap yakin peluang Kuala Lumpur untuk merebut salah satu slot ke suku akhir Piala Malaysia masih lagi terbuka.

"Saya mahu menurunkan De Paula tetapi terdapat pemain-pemain yang lebih perlu digantikan di dalam perlawanan semalam. Ini merupakan satu mata penting buat kami, masih terdapat peluang untuk pasukan mara ke peringkat seterusnya," katanya.

Advertisement

Must Watch Video